SEJAK menceburi bidang lakonan, penyanyi kelahiran Sabah, MK K-Clique mengakui pertuturannya dalam bahasa Melayu standard semakin baik berbanding awal kemunculannya dalam industri seni.
MK atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia dapat memperbaiki cara percakapan hasil usahanya sendiri melalui pendengaran selain sering berkomunikasi dengan isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin di rumah menggunakan bahasa Melayu standard.
“Alhamdulillah saya sudah dapat memperbaiki sedikit cara sebutan dan pertuturan menggunakan bahasa Melayu ‘semenanjung’. Kalau sebelum ini loghat Sabah saya memang sangat pekat.
“Saya banyak belajar sendiri melalui pendengaran selain selalu berkomunikasi dengan isteri di rumah menggunakan bahasa Melayu standard. Tapi bagi saya, kebolehan bertutur menggunakan bahasa Melayu standard dan loghat Sabah memberi kelebihan dalam kerjaya lakonan.
“Lagi pun isteri saya tidak berapa faham kalau saya bercakap menggunakan slanga Sabah. Tapi lama-lama dia sudah boleh ‘tangkap’ apa yang saya cuba hendak sampaikan,” ujarnya ketika ditemui di konsert Kepci Music Fest baru-baru ini.
Pada masa sama, jejaka berusia 27 tahun itu berkata, meski bermula sebagai penyanyi, dia kini telah jatuh cinta dengan dunia lakonan.
“Kalau ditanya bidang mana yang paling saya minati, dua-duanya saya suka (lakonan dan nyanyian) kerana masing-masing ada kepuasan dan kenikmatannya tersendiri.
“Kedua-dua bidang ini sangat menyeronokkan. Alhamdulillah, sejak menceburi bidang lakonan, saya dihujani dengan tawaran menjayakan drama dan telefilem.
“Namun, itu tidak bermakan saya akan melupakan bidang nyanyian bersama K-Clique. Insya-Allah, hujung tahun ini kami akan keluarkan single baharu,” katanya.
Terdahulu, bakal lakonan MK mula dicungkil menerusi drama The Hotel pada 2021 dengan memegang watak Sean.
Selain The Hotel, MK juga pernah membintangi beberapa drama lain seperti Oh My Hantaran dan I LOVE You Stupid! – HIBGLAM