Saya seorang diri, mata ditutup – Hazwani Helmi

MENJADI antara aktivis kemanusiaan yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, penyanyi Hazwani Helmi tidak dapat melupakan pandangan dan ungkapan sinis tentera zionis terhadapnya ketika disoal siasat sebelum dibawa ke penjara Israel.

Hazwani atau nama lengkapnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, mendedahkan dia diberi amaran oleh tentera Zionis sebaik bertegas mahu memberikan bantuan makanan kepada penduduk Gaza.

“Paling tak boleh lupa dan tak sabar nak kongsi dengan rakyat Malaysia sebelum saya dimasukkan ke penjara pengganas. Saya seorang diri sebelum mata ditutup.

“Dia tanya kenapa nak ke Gaza dan saya jawab mahu beri bantuan. Dia tanya lagi bantuan apa, saya kata bantuan makanan.

“Dia cakap buat apa datang ramai-ramai nak bagi makanan dan saya balas nak mendidik dunia. Selepas dia dengar perkataan itu, dengan pandangan sinis dia cakap ‘welcome to jail’ (selamat datang ke penjara).

“Itu membuatkan saya terfikir adakah disebabkan nak bagi bantuan kepada orang memerlukan makanan kami kena pergi ke penjara,” katanya dalam sebuah temu bual.

Pada masa sama, pelantun lagu Wahana turut meluahkan rasa terkilan apabila usaha membantu rakyat yang ditindas dianggap sebagai satu kesalahan sehingga mengheret mereka ke penjara.

“Itulah gambaran rakyat Palestin tengah harungi. Mereka tiada dosa dan salah tapi terpaksa masuk penjara dan dibunuh.

“Benda ini dunia perlu tahu,” katanya lagi.

Sebelum ini, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di Turki selepas ditahan oleh rejim zionis ketika berlayar di zon merah sebelum memasuki perairan Gaza.

Selain Hazwani, selebriti wanita lain yang turut menyertai misi tersebut ialah Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok