BERKESEMPATAN menonton sebuah lagi karya mat salih berjudul Until Dawn yang kini sedang rancak ditayangkan menerusi Netflix.
Setakat ulasan ini diusaikan, filem arahan David F. Sandberg itu berada di tangga ketiga filem terlaris (Malaysia) di laman penstriman terbabit.
Netflix sekali lagi mempertaruhkan adaptasi permainan video ke layar perak dengan tayangan Until Dawn (2025), yang diangkat daripada judul popular keluaran PlayStation.
Menggabungkan elemen slasher horror dan kitaran masa (time loop), filem ini mengisahkan sekumpulan anak muda yang berdepan ancaman misteri ketika mengunjungi sebuah lembah terpencil setahun selepas kehilangan seorang rakan.
Setiap kali mereka dibunuh, malam yang sama kembali berulang, memaksa mereka mencari jalan untuk bertahan sehingga terbit fajar.
Premis unik ini memberi ruang kepada penceritaan kreatif dan peluang menimbulkan ketegangan berulang, namun tidak semuanya berjaya direalisasikan dengan baik.
Kekuatan utama Until Dawn terletak pada konsepnya yang menarik, selain penggunaan kesan khas praktikal serta babak ngeri yang cukup berkesan bagi peminat karya seram.
Tenaga pelakon muda, termasuk Ji-young Yoo yang menyerlah sebagai Megan turut menambah dimensi emosi kepada jalan cerita. – HIBGLAM