“SAYA memang berdebar. Kami yang dekat sini berserah dan reda sahaja, macam Ardell sendiri pun dia dah reda.
Demikian respons pelakon Nadzmi Adhwa yang mengakui hanya mampu berserah kepada Allah SWT untuk melindungi isterinya Ardell Aryana susulan laporan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan ancaman serangan Israel.
Tidak berdaya melakukan apa-apa, Nadzmi atau nama penuhnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, tidak putus mendoakan kesematan konvoi itu.
Ardell dah tak fikir pasal diri dia, semuanya tentang Gaza. Dari awal dia pasak niat nak sampai sana dulu.
“Cuma bila dapat tahu nak kena serang habis-habisan kita minta doalah. Itu sahajalah boleh cakap dari jauh ini,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Pada masa sama, Nadzmi tidak menafikan terganggu memikirkan keadaan Ardell, namun dia cuba untuk kekal positif dan yakin dengan ketentuan Tuhan.
Dia juga berharap Ardell dapat kembali ke pangkuannya dengan selamat seperti mana dia menghantar belahan jiwanya itu ke lapangan terbang bagi menyertai misi berkenaan sebelum ini.
“Otak memang sentiasa memikirkan isteri tapi kalau kita ‘over’ sangat fikir pun tak boleh juga.
Jadi saya doakan dia dari sini. Apa yang saya harapkan adalah macam mana saya hantar dia pergi, macam itulah harapnya dia pulang kepada saya.
“Saya harap semua rakyat Malaysia mendoakan GSF dapat selesaikan misi itu dengan selamat, Insya-Allah. Itulah senjata utama kita,” ujarnya.
Kali terakhir berhubung dengan Ardell, Nadzmi meminta isterinya itu untuk kuat semangat kerana berada dalam keadaan tidak sihat.
“Saya tak boleh nak hubungi dia pun, tak dapat.
Kali terakhir berhubung, saya minta dia teruskan dan kuatkan semangat sebab sepatutnya hari itu dia kena patah balik tapi dia tetap nak teruskan,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, beberapa negara memberi amaran kepada rakyat masing-masing yang menyertai GSF bagi memecahkan kepungan di Gaza bahawa mereka terdedah kepada serangan Israel pada bila-bila masa.
Menurut laporan media antarabangsa, tentera Israel memberi amaran bahawa mereka sedia untuk menyekat atau mengintersepsi GSF yang disifatkan sebagai percubaan menembusi sekatan laut Israel terhadap Gaza.
Selain Ardell, GSF turut disertai 34 aktivis Malaysia antaranya pengamal media Zainal Rashid Ahmad, personaliti media sosial, Farah Lee serta dua penyanyi, Zizi Kirana dan Heliza Helmi bersama adiknya, Hazwani Helmi. – HIBGLAM