‘Saya hormat, semua orang ada pendapat masing-masing’

PENYANYI Aina Abdul enggan melatah apabila segelintir pihak mempersoalkan standard penilaian pertandingan muzik, termasuk teguran penyanyi Atilia Haron yang seakan menyindir kemenangan artis bersuara tinggi dalam sesebuah anugerah.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata setiap juri mempunyai kredibiliti tersendiri, sekali gus tidak wajar isu kemenangan hanya dipertikai berdasarkan faktor julat vokal semata-mata.

“Okey, sebenarnya saya percaya semua orang berhak ada pandangan masing-masing. Saya hormati penulis kenyataan itu. Malah, beberapa minggu sebelum isu ini timbul, saya ada bertemu dengannya.

“Tapi saya yakin dengan kredibiliti juri. Nama-nama mereka bukan calang-calang, semuanya tokoh besar dalam industri.

“Kalau kita persoalkan hanya kerana vokal tinggi, itu seolah-olah mempertikai keseluruhan proses pemarkahan. Jadi, saya rasa itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas lanjut, pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) itu menegaskan kemenangannya bukan disebabkan kemampuan menyanyi pada nada tinggi, sebaliknya hasil ilmu vokal yang dipelajari sejak bertahun-tahun.

“Saya tahu apa yang saya lakukan. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana sejarah anugerah terdahulu pun membuktikan ada pemenang dengan lagu santai sahaja. Jadi, tidak adil kalau hanya menilai berdasarkan vokal tinggi semata-mata.

“Saya bukan sekadar menyanyi ikut suka hati. Saya ada guru-guru vokal berkaliber seperti Cikgu Shafiq. Ilmu itu saya bawa dalam setiap persembahan. Saya tahu apa yang saya lakukan.

“Saya juga datang dari latar belakang pengajian muzik dan juga vokal. Apa yang saya tampilkan dalam nyanyian bukan semua bernada tinggi,” ujarnya pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Sesaat, di sini, hari ini.

Tambah pelantun Kamu itu, dia sudah dapat menjangka isu sebegini bakal timbul, lebih-lebih lagi selepas pengalamannya menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) yang sering diperdebatkan netizen.

“Saya boleh jangka perkara sebegini. Dari AJL pun saya sudah belajar banyak benda. AJL banyak mengajar saya untuk matang dan lebih bersedia.

“Cuma saya tidak sangka isu kali ini jadi sebesar ini. Saya harap semua pihak dapat segera menyelesaikan agar tidak timbul rasa janggal untuk saya berhadapan dengan orang ramai,” jelasnya.

Terdahulu, Atilia mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan suara.

“Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade,” tulisnya.

Bagaimanapun, hantaran yang mencetuskan polemik itu sudah dipadam.

Meskipun tidak menyebut nama, rata-rata netizen mengaitkan kenyataan itu dengan kejayaan besar Aina Abdul yang baru sahaja merangkul trofi utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok