‘RM150 satu lagu, tak tahu nak ketawa atau sedih’

TIDAK masuk akal, vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves mendedahkan ada pihak tergamak menawarkan bayaran RM150 bagi sebuah lagu untuk satu persembahan.

Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin, 51, berkata, perasaan teruja sebaik menerima e-mel daripada individu yang menyatakan minat terhadap band tersebut bertukar terkilan apabila muzik mereka dinilai serendah itu.

“Mula-mula saya seronok sebab dia kata memang minat kumpulan saya dari dulu.

Tetapi bila tanya bajet, dia jawab RM150 untuk satu lagu. Saya tak tahu nak ketawa atau sedih,” katanya menerusi perkongsian di platform Threads.

Katanya, andai mereka menerima tawaran berkenaan untuk mempersembahkan lima lagu sekalipun, bayaran diperoleh selepas ditolak kos adalah sekitar RM50 seorang.

Bayangkan RM750 dibahagi lima orang. Itu belum tolak kos sewa studio, tukar tali gitar, servis peralatan, pakaian, bayar kru, pengurus, kos minyak, makan minum dan sebagainya.

“Macam mana artis nak terus bertahan? Inilah yang membunuh semangat pemuzik,” ujarnya.

Menurut Neves lagi, orang ramai perlu perlu dididik untuk lebih menghargai karya seni serta hasil titik peluh penggiatnya.

Pendidikan awal untuk hargai seni itu sangat penting. Saya berharap semangat yang kian menipis ini masih ada untuk saya teruskan perjuangan. Amin ya rabbal alamin,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna Threads marah apabila band yang lebih dua dekad dalam industri muzik itu dinilai sebegitu rendah.

“Husnuzon masa taip tertinggal angka. ‘What an insult’ (satu penghinaan). Pretty Ugly kot,” tulis netizen.

“Sedih sebenarnya ada manusia mentaliti macam ini,” kata seorang pengguna lain.

Band psychedelic rock yang tampil dengan album sulung pada 2001 itu mempunyai banyak lagu popular termasuk Diari Seorang Lelaki yang mara ke Anugerah Juara Lagu ke-21. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok