Dua Lipa pecat ejen kantoi sokong Israel

PENYANYI terkenal antarabangsa, Dua Lipa dikhabarkan telah memecat ejennya bagi pasaran Eropah, David Levy selepas didapati menandatangani surat petisyen agar kumpulan rap pro-Palestin, Kneecap dibuang daripada festival muzik Glastonbury.

Menurut laporan The Daily Mail, butiran surat petisyen yang ditandatangani penggiat industri untuk ditujukan kepada pengasas festival, Michael Eavis itu dibocorkan dan mendapati David merupakan salah seorang yang terawal menandatangani surat tersebut.

Apa yang dilakukan David nyata bertentangan dengan pendirian Dua Lipa yang merupakan penyokong kuat Palestin dan lantang bersuara tentang konflik melanda negara itu.

David merupakan ejen bertugas di bawah agensi William Morris Endeavor (WME) yang mengendalikan urusan pasaran Eropah bagi pihak Dua Lipa.

“Dua kesal dengan tindakan David dan telah menamatkan perkhidmatan ejen itu kerana menyokong perang Israel di Gaza,” kata sumber.

Sebelum ini Dua pernah mengeluarkan kenyataan menggesa supaya genjatan senjata dilakukan berikutan ribuan rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman Israel sejak 7 Oktober 2023.

Sementara itu kumpulan Kneecap menafikan tuduhan bahawa mereka menyokong kumpulan militan, sebaliknya menegaskan mereka hanya bersuara menentang penindasan di Palestin.

Sejak menyampai mesej menyokong Palestin ketika membuat persembahan di Coachella 2025, Kneecap menerima banyak kecaman daripada penyokong zionis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok