23
Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, menerima teguran netizen dengan hati terbuka berhubung imejnya yang dilihat semakin seksi.
Menurut Liyana, 37, segala nasihat yang baik akan dijadikan panduan untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.
Netizen berhak untuk memberi komen. Saya akui apa yang mereka katakan itu benar, tidak sepatutnya saya berpakaian seksi.
“Saya tidak pernah membalas komen dengan menyuruh mereka berhenti kacau hidup saya atau sebagainya.
“Semua nasihat dan kecaman yang diberikan saya terima kerana sedar diri saya pun bukannya baik sangat,” ujarnya ketika ditemui pada acara Viu Royal Night baru-baru ini.
Liyana mengakui sejak dari dahulu dia sememangnya gemar berpakaian seksi, namun jarang berkongsi dalam media sosial.
“Saya memang selalu berpakaian begitu, cuma mungkin tidak diketahui ramai. Seluar pendek memang saya pakai, cuma tidak dimuat naik ke media sosial.
“Baru-baru ini apabila saya kongsikan pakai skirt pendek di Instagram, perkara itu terus jadi isu,” katanya.
Diminta pandangan mengenai tindakan seorang penyanyi baharu yang mengambil keputusan menanggalkan tudung, Liyana yang sebelum ini pernah bertudung buat seketika enggan mengulas panjang.
Apa yang terbaik, dia menitipkan doa agar penyanyi terbabit terus diberi kekuatan.
“Saya tidak berhak menilai seseorang kerana saya sendiri pun tidak tahu apa yang dia lalui. Saya hanya doakan dia terus bersabar dan kuat. Lagipun dia masih muda,” kata selepas pelancaran drama terbaharu, Putri & Phrince semalam.
Karya arahannya lakonan Nesa Idrus dan Badron Munirah tersebut ditayangkan menerusi platform penstriman popular Viu sejak 21 Ogos lalu. – HIBGLAM