MEMILIH doa ibu bapa ketika berarak masuk ke dewan majlis pernikahan, penyanyi Amira Othman mengakui berbuat demikian bagi mendapat kerahmatan orang tuanya.
Ujar Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 32, pesanan dan nasihat bapanya, Othman Abdul Kadir sentiasa diingati lebih-lebih lagi membabitkan perbuatan baik.
“Nak kongsi masa saya masuk dewan, memang saya rancang minta Raqib bacakan doa ibu bapa ini sebab saya saya jalan dengan mama. Abah (panggilan bapa) ‘camera shy’ (pemalu).
“Saya terlalu suka doa ini sangat bermakna ‘Allah ampunkanlah segala dosa ibu dan ayahku, kasihani mereka seperti mereka menjagaku’.
“Kalau cerita fasal mak ayah ini tak akan habis. Sampai mati, mereka syurga kita.
“Tak akan boleh beli mana-mana dah. Abah banyak ajar saya, apa yang saya buat, cakap dan fikir hari ini abah yang banyak ajar. Saya selamanya ingat abah pesan untuk selalu sangka baik , buat baik dan selalu jadi baik,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, pelantun lagu Hati-Hati itu juga tidak melupakan jasa ibunya yang tidak henti mendoakan keberkatan dalam hidupnya.
“Mama adalah orang yang sentiasa doakan saya, sentiasa saya mohon doa walau sekecil zarah urusan hidup saya.
“Sebab saya yakin doa ibu tiada hijab. Macam-macam keajaiban dengan doa ibu ini,” jelasnya.
Selain itu, Amira turut mendoakan kesejahteraan ibu bapanya selain menitipkan nasihat agar orang ramai dapat menggembirakan hati kedua orang tua masing-masing.
“Ya Allah, moga ibu bapa kita dikurniakan syurga tanpa hisab.
“Moga kita dapat jadi anak-anak yang sentiasa membahagiakan kedua ibu bapa kita agar bila kita ada anak nanti, kita juga akan disayangi dan dihargai anak-anak,” tuturnya lagi.
Tambahnya, setiap tutur kata yang dilontar sebelum ini juga lahir daripada hasil didikan bapanya.
“Selalu jawapan-jawapan podcast (audio siar) saya orang cakap saya ada skrip.
“Masha-Allah, tabarakallah. Semua ayat-ayat saya adalah apa yang saya faham tentang hidup kerana abah banyak ajar dan fahamkan saya.
“Banyak lagi yang harus saya belajar sebab saya pun buat salah dan silap tapi saya yakin. Jika ibu bapa reda, maka Allah juga reda, insya-Allah,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Amira menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon Fattah Amin pada 14 September bersamaan hari lahir aktor terbabit. – HIBGLAM