DUA hari selepas bergelar suami isteri, pelakon Fattah Amin dan Amira Othman kini ‘terbang’ menikmati bulan madu di sebuah lokasi yang masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Perkara tersebut dikongsikan Fattah atau nama lengkapnya Abd. Fattah Mohd. Amin yang memuatnaik foto berpegangan tangan dengan suri hatinya sambil meletakkan emosi pesawat dan lambang hati rona biru dalam laman sosial.
Tanpa sebarang kapsyen, kegembiraan wajah isterinya itu jelas menunjukkan momen membahagiakan bakal ditempuhi mereka sepanjang percutian tersebut.
Menguatkan andaian pasangan sensasi terbabit menikmati percutian ke luar negara apabila gambar berkenaan dirakamkan di lapangan terbang dan dimuat naik beberapa jam lalu.
Selepas majlis ijab kabul disempurnakan di sebuah hotel di Sepang pada 14 September lalu, Fattah dan Amira ada mengakui akan berbulan madu sambil bekerja.
Malah, difahamkan pasangan terbabit dijadualkan ke beberapa destinasi namun tidak diperincikan semasa wawancara bersama media.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa serta ucapan agar pengantin baharu itu selamat sampai ke destinasi.
“Selamat berbulan madu abang long dan kak long,” tulis seorang peminat.
“Semoga menikmati percutian yang indah,” komen netizen lain.
Sehingga ke hari ini setiap perkongsian Fattah dan Amira menjadi perhatian ramai tambahan pula selepas aktor terbabit mengelar wanita yang baru dinikahinya itu sebagai isteri syarga. – HIBGLAM