‘Moga Allah makbulkan doa daripada orang baik macam awak’

HANYA berbaki beberapa jam untuk sah bergelar isteri, penyanyi Amira Othman menitipkan ucapan penuh makna buat bakal suaminya, pelakon Fattah Amin bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-35 sebelum naik pelamin malam ini.

Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 32, mendoakan agar Fattah terus dilimpahi kebahagiaan, kesihatan, rezeki melimpah ruah serta kasih sayang tanpa henti.

“Selamat hari lahir Fattah Amin. Semoga Allah kurniakan rahmat, kasih sayang, kebahagiaan, iman dan kesihatan tubuh badan.

“Doa saya, semoga yang baik-baik untuk manusia sebaik awak. Selamat menyambut ulang tahun ke-35,” katanya dalam Instagram.

Lebih manis, ucapan penuh makna itu dibalas Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, dan berharap doa daripada bakal isterinya diangkat Tuhan.

“Alhamdulillah, terima kasih. Semoga Allah makbulkan semua doa daripada orang baik seperti awak.

“Memang menjadi kejutan awak kali ini,” ujar Fattah di ruangan komen.

Perkongsian pasangan sama cantik sama padan itu pantas menarik perhatian peminat yang membanjiri ruang komen dengan ucapan tahniah.

“Doa Amira sangat indah, moga kasih sayang mereka berpanjangan hingga ke syurga,” tulis seorang netizen.

“Manis betul pasangan ini, romantik ucapan Amira. Kami tak sabar nak saksikan majlis pernikahan malam nanti,” tambah seorang lagi.

Terdahulu, pada 8 September lalu Fattah mengumumkan dia dan Amira bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September, bertepatan dengan tarikh lahirnya.

Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Fazura pada 27 Oktober 2017 namun bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok