KUALA LUMPUR – “Saya tetap akan melindungi bekas isteri sampai ke hujung hayat.”
Demikian luahan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, ketika ditanya mengenai kontroversi tular yang mendakwa bekas isterinya, Azrene Soraya Abdul Aziz tidak lagi berhijab selepas berpisah.
Menurut Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fazley Yaakob, 46, tindakan Azrene untuk menanggalkan tudung tidak seharusnya dijadikan bahan kecaman masyarakat.
“Bila dia membuat keputusan untuk buka tudung, itu sesuatu yang orang baru nampak. Tetapi sebenarnya, sejak dari awal perkahwinan, dia memang begitu.
“Jadi, bagi saya, kita tidak boleh menilai buruk atau baik seseorang hanya kerana tudung di kepala. Bertudung atau tidak, itu pilihan peribadi,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Asmara Ini itu, hijab tetap mempunyai keindahan tersendiri, namun perkara tersebut tidak melayakkan seseorang dipandang serong hanya kerana tidak menutup aurat.
“Bertudung itu adalah kelebihan masing-masing dan saya tetap menyokong apa sahaja yang Azrene pilih.
“Bersangka baik itu indah, tetapi jangan sampai kita letakkan syarat bahawa orang tidak bertudung berniat buruk.
Ramai wanita bertudung di rumah tetap berpakaian seksi untuk suami, begitu juga sebaliknya. Jadi jangan mudah menghukum,” ujarnya pada sidang media pelancaran ‘Flavour Kahwin’ Sushi Plus, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video memperlihatkan Azrene tidak lagi berhijab sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan dalam media sosial.
Untuk rekod, Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 16, Ahmad Fieradz Shah, 15, Ahmad Fierudz Shah, 14, serta Alayna Selma, 8.
Mereka sah bercerai pada Oktober 2024 selepas penyanyi tersebut memfailkan perceraian beberapa bulan sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, Fazley kini sibuk dengan kolaborasi bersama jenama makanan tempatan, Sushi Plus, bagi memperkenalkan menu fusion terbaharu dinamakan Flavour Kahwin.
Kolaborasi bersama chef residen Sushi Plus, Chef Hugo, itu mempersembahkan empat sajian bermusim unik gabungan cita rasa Malaysia dan teknik sushi Jepun, antaranya Nasi Lemak Sambal Idako, Beef Cili Api Sushi, Pulut Rendang Ayam Sushi dan Nasi Kerabu Unagi Sushi.– HIBGLAM