Ya benar, saya sedang kenal seseorang – Aniq Suhair

HATI sedang berbunga-bunga, pelakon Aniq Suhair mengakui dirinya kini dalam fasa mengenali hati budi seorang wanita.

Pun begitu, Aniq atau nama sebenarnya Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 25, lebih selesa merahsiakan identiti wanita berkenaan bagi mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh mengeruhkan keadaan andai hubungan itu berakhir dengan perpisahan.

“Ya, benar, saya tengah mengenali seseorang. Sampai masa kalau ada jodoh, saya akan beritahu.

“Insya-Allah kalau sudah tertulis, mengapa tidak? Cuma buat masa ini biarlah rahsia dahulu. Saya tak mahu kongsi awal kerana bimbang jika tidak jadi, orang akan bercakap macam-macam.

“Bila sudah rasmi nanti dan benda ‘confirm’ terjadi, barulah saya akan umumkan,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lebih lanjut, bintang drama Journal Sara-haeyo itu tidak menafikan dia sebenarnya sudah bersedia melangkah ke fasa lebih serius dalam hidup.

“Kalau nak bercakap soal ke arah serius, ya, memang kami berdua sedang menuju ke arah itu.

“Saya sudah mengenali dia lebih enam bulan. Setakat ini, ciri-ciri seorang isteri yang saya idamkan semuanya ada pada dirinya. Syukur kerana semua nampak positif,” ujarnya.

Terdahulu, nama Aniq pernah dikaitkan dengan anak kepada penerbit terkenal, Datuk A. Aida iaitu Azeva Natassha.

Hubungan mereka ketika itu hangat diperkatakan sehingga timbul dakwaan bercinta .

Bagaimanapun, gosip tersebut segera reda selepas Azeva tampil menegaskan bahawa keserasian antara mereka ketara kerana pernah menuntut di sekolah sama, sekali gus menganggap Aniq tidak lebih daripada sekadar sahabat baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok