‘Ayah pesan peminat sokong kita, jadi kena beri yang terbaik’

MENJADI tulang belakang sejak bergelar penyanyi tiga dekad lalu, Ziana Zain menyifatkan pemergian bapanya, Zain @ Zin Abdullah sebagai kehilangan insan penting yang menyaksikan pahit manis kembara seninya.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, berkata, mereka berdua pernah tolak motosikal yang rosak di tengah jalan ketika mahu membeli kain untuk dibuat gaun sewaktu mula-mula menceburi arena seni.

“Dulu semua ayah boleh buat dari memasak, mengemas rumah malah menyiapkan anak-anak. Semasa ibu dalam pantang, ayah menguruskan rumah, memandikan anak-anak, memasak, mengemop lantai, basuh baju, semua dilakukan sendiri.

Ketika mula terbabit dalam bidang seni, baju pun ayah jahitkan. Kami naik motor nak beli kain di Klang. Saya ingat lagi kain itu warna ‘pink’ untuk dibuat baju. Tapi motor pula rosak, jadi kami sama-sama tolak.

“Kemudian ayah selalu ingatkan, jangan cepat mengalah atau putus asa. Tidak mengapalah, bersusah-susah dahulu,” kata Ziana ketika ditemui kediamannya, di Shah Alam, hari ini.

Allahyarham Zain menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pukul 2.50 petang tadi berikutan kanser prostat tahap empat yang dihidapi sejak Disember tahun lalu.

Menurut Ziana, bapanya juga seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab dan tidak berkira apabila gemar membantu keluarga serta orang sekeliling.

Ayah ringan tulang, suka menjamu tetamu walaupun hanya dengan segelas air atau biskut kering. Dia suka menolong dan bersedekah.

“Rezekinya melimpah kerana sifat pemurah itu. Sebagai polis, dia berkhidmat membantu ramai orang. Allah juga memudahkan akhir hayatnya dengan cara baik dan indah,” ujarnya.

Menurut Ziana lagi, bapanya merupakan individu penting dalam membentuk kerjaya seninya dan juga adiknya, Anuar Zain.

Dari dulu lagi dia yang menemani, menjadi pengurus tak rasmi, memberi nasihat mengenai penampilan, malah menegur agar sentiasa menjaga imej depan peminat.

“Abah selalu pesan, ‘Peminat sokong kita, jadi kita kena bagi yang terbaik untuk mereka’. Itu yang kami sentiasa ingat. Saya pun dia selalu pesan nak keluar kena bersiap, pakai lipstik,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi terbabit bersyukur semua adik-beradik berada di sisi arwah pada saat akhir selain bergilir menjaga bapa mereka sejak tidak sihat tiga tahun lalu.

Kami bersyukur kerana dapat bersama-sama menjaganya hingga ke akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun meninggalkan isteri, Robiah Abdul, lima anak dan 13 cucu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, di sini pukul 7 malam tadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok