‘Pakai tudung biar ikhlas, bukan sebab suami suruh’

IMAN turun naik, pelakon dan usahawan Datin Fouziah Gous mengakui proses penghijrahannya dilakukan mengikut fasa tersendiri, bukan atas desakan mana-mana pihak termasuk suaminya, Datuk Zhafran Md. Yusof.

Ujar Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 42, keputusannya berhijab dahulu lahir daripada hati yang ikhlas kerana enggan hanya menunaikan kehendak suami tanpa keredaan diri sendiri.

“Saya masih ingat ketika merakam video pra-perkahwinan dahulu. Zhaf berjanji akan beri saya ruang dan masa. Sampai sekarang saya pegang janji itu.

Saya tidak mahu jika satu hari nanti takdir menentukan jodoh kami berakhir, saya buka tudung kerana niat asal hanya untuk menggembirakan suami.

“Biarlah keputusan ini lahir untuk diri saya sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu sebuah majlis ilmu tertutup anjuran rakan selebriti merangkap usahawan, Neelofa.

Tambah pelakon filem Polis Evo 3 itu, perubahan besar dalam hidup memerlukan kesungguhan serta masa agar setiap langkah benar-benar jujur tanpa dipengaruhi niat bercampur.

“Saya memang ikut fasa sendiri. Saya tahu perubahan ini untuk kebaikan diri, bukan kerana tekanan luar.

Saya mahu menjadi lebih baik, tetapi bukan atas paksaan. Masa dan keikhlasan sangat penting bagi saya,” jelasnya.

Ibu dua anak itu turut berkongsi sisi rumah tangganya apabila mengakui terlalu bergantung kepada suami, meskipun dirinya sebelum ini cukup berdikari.

“Saya seorang workaholic (kuat bekerja), biasa buat semua perkara sendiri. Tetapi dengan Zhaf, saya jadi sebaliknya.

Contohnya hendak makan ubat pun kalau dia tidak buka, saya rela tidak makan. Itulah betapa besarnya peranan suami dalam hidup saya,” ujarnya.

Untuk rekod, Fouziah mendirikan rumah tangga dengan Zhafran pada 21 September 2013.

Hasil perkongsian kasih, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Zeeshan Yusuf, 10, dan Zaheen Yusof, 8. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok