DISEBALIK ketegasannya berbicara, siapa sangka Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah menjadi mangsa buli pada zaman persekolahan kerana mempertahankan rakannya.
Menurut Syed Saddiq, perkara tersebut berlaku ketika dia berada di tingkatan lima di sebuah sekolah tentera.
“Saya pernah tengok kes buli berlaku depan mata sewaktu sekolah dulu. Bila cuba pertahankan kawan, saya pula yang kena lempang sehingga terjatuh.
Saya dulu belajar di sekolah tentera dan bukan jenis individu yang berdiam diri. Apabila kejadian buli tersebut berlaku depan mata, saya ambil tindakan sehingga saya pula yang dilempang.
“Mungkin sebab badan saya bersaiz kecil dan saya ‘nerd’ (ulat buku),” katanya kepada HibGlam pada sidang media pengumumuan Thong Bowl dalam ASEAN Book of Records mendapat pensijilan halal, baru-baru ini.
Mengulas lanjut isu buli, Syed Saddiq berharap gejala negatif itu tidak terus berleluasa kerana bimbang menjadi barah dalam masyarakat.
“Saya ingat kisah dibuli dulu, bukan sebab berdendam namun bagi memastikan tidak ada lagi generasi muda menjadi mangsa buli di sekolah.
Saya mahu memastikan sekolah menjadi adalah institusi yang selamat.
“Saya juga mahu anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik dan keluar dari kepompong kemiskinan dan menjadi individu yang berjaya,” katanya lagi.
Terdahulu, Syed Saddiq antara individu yang lantang bersuara tentang isu buli dalam media sosialnya. – HIBGLAM