Sokong Syed Saddiq, Kismah Johar cuti ‘shooting’ Gerak Khas 2.0

TUNJUKKAN solidariti, dramatis veteran, Kismah Johari sanggup mengambil cuti daripada penggambaran drama bersiri Gerak Khas 2.0 bagi memberikan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Kismah, 74, dia sudah maklumkan pihak produksi lebih awal tidak dapat menjalani penggambaran pada hari ini kerana mahu mengikuti perkembangan kes membabitkan ahli politik terbabit di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

“Awal-awal lagi saya memang dah beritahu produksi bahawa pada sekian tarikh (13 Julai) saya tak boleh shooting (jalani penggambaran).

“Kalau tak saya sekarang ada di lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas 2.0. Sebab dah minta cuti, dapatlah datang,” katanya ketika ditemui di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Hadir ditemani seorang rakan, Kismah berkata, dia percaya kemenangan berpihak kepada bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu kerana jelas beliau tidak bersalah.

“Sudah lama saya mengikuti perkembangan Saddiq menerusi laporan media serta paparan di media sosial.

“Beliau memang layak menang kerana kita tahu tak bersalah dan saya yakin kebenaran akan memihak kepadanya.

“Beliau juga sendiri sentiasa yakin dan berserah kepada Allah. Kesabaran dan ketabahannya menunggu selama enam tahun memang berbaloi apabila semuanya terjawab hari ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Kismah turut mendoakan agar urusan Syed Saddiq bersama tunangnya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah dipermudahkan sehingga dapat disatukan sebagai suami isteri.

“Harap semuanya dilancarkan. Semoga mereka terus bersatu dan akhirnya mendirikan rumah tangga,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Armada Bersatu selepas menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.

Keputusan itu menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta. – HIBGLAM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok