Bukan masa pertimbangkan lagi, saya akan saman – Fattah Amin

DIDAKWA bercerai dengan aktres Fazura kerana orang ketiga, pelakon Fattah Amin mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan pihak pengurusannya memulakan proses undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut.

Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, dakwaan kononnya wujud orang ketiga dalam perpisahannya adalah tuduhan berat dan tidak berasas, malah sengaja dicetuskan bagi mencemarkan reputasi serta menjatuhkan nama baiknya.

“Benda macam ini memang tak elok dan jelas satu fitnah. Sekarang bukan lagi masa untuk mempertimbangkan, tapi sudah mula uruskan tindakan undang-undang.

“Perkara ini sedang dikendalikan oleh pihak pengurusan dan peguam saya. Tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang menyebarkan fitnah tersebut sebab kalau dibiarkan, boleh merebak kepada perkara lebih buruk,” katanya pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), malam tadi.

Tambah pelakon Suri Hati Mr Pilot itu, dia sendiri tidak menyedari tentang isu berkenaan pada peringkat awal, namun dimaklumkan pengurus serta peminat yang mengambil berat tentang hal tersebut.

“Saya pun tak tahu mulanya. Pengurus saya yang beritahu, kemudian ramai peminat juga panjangkan perkara ini kepada kami.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin dan cakna. Bila dah sampai tahap mencalarkan nama, kami tidak akan berdiam diri,” ujarnya.

Ditanya sama ada kontroversi tersebut memberi kesan terhadap imejnya sebagai selebriti dan figura awam, bapa satu anak itu menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusannya untuk menilai secara profesional.

Pun begitu, dia enggan melatah atau melayan sebarang provokasi dan menyifatkan gosip sebagai sebahagian daripada cabaran dunia hiburan.

“Sama ada beri kesan secara peribadi atau kerjaya, saya tak boleh nilai sendiri. Jika pengurusan anggap itu ganggu kredibiliti saya, maka tindakan undang-undang akan diteruskan

“Daripada apa yang diberitahu pengurusan, memang ada segelintir yang mahu calarkan imej saya. Saya anggap ini lumrah jadi anak seni. Dalam 10 ke 15 tahun kita dalam industri, tak semuanya akan positif.

“Ada masa kita diuji. Saya tak mahu bazir masa fikir tentang hal ini. Fokus saya tetap kerja, dan kalau sesuatu itu langgar batas, maka undang-undanglah tempatnya,” jelasnya.

Terdahulu, nama Fattah hangat diperkatakan di aplikasi Threads apabila sepasang suami isteri yang juga personaliti media sosial mendakwa rumah tangga mereka diganggu orang ketiga.

Pasangan tersebut turut memetik nama seorang penyanyi wanita yang didakwa menjadi batu api, selain mengaitkan individu terbabit sebagai punca keretakan rumah tangga Fattah dan Nur Fazura sebelum ini.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok