PEMPENGARUH media sosial terkenal, Ryan Bakery berkongsi berita gembira isterinya, Elyia Ibrahim kini hamil anak sulung selepas 10 bulan hidup bersama.
Ryan, 28, ketika ditemu bual HibGlam memberitahu, dia tidak menyangka dirinya bakal bergelar bapa dan berharap segala urusan isterinya akan dipermudahkan.
“Alhamdulillah tanpa sedar tidak lama lagi saya bakal bergelar seorang ayah. Isteri saya kini sedang hamil lima bulan”.
“Saya selalu berdoa kepada Allah SWT untuk memudahkan segala urusan,” katanya.
Tambah Ryan, dia dan isteri sudah pun memilih nama untuk diberikan kepada cahaya mata mereka nanti.
“Insya-Allah kalau dapat anak lelaki, saya akan beri nama Ryan Ezra. Kalau anak Perempuan pula Raisya Ezra. Tapi jantina kami belum tahu lagi,” jelasnya.
Bercerita lebih lanjut, Ryan berkata pada awalnya dia tidak tahu isterinya sedang berbadan dua, namun wanita itu sudah menunjukkan tanda-tanda seperti mual-mual.
“Awalnya saya tidak tahu isteri sedang hamil sebab dia rahsiakan daripada pengetahuan saya. Tahu-tahu dia tunjuk gambar hasil imbasan kehamilan (janin) dan keputusan kit ujian kehamilan.
“Saya ingatkan dia kena Covid-19. Ternyata saya bakal bergelar bapa tidak lama lagi,” katanya.
Sambung Ryan lagi, seperti kebanyakkan ibu hamil yang lain, isterinya juga tidak terlepas daripada melalui fasa mengidam.
“Isteri ada mengidam. Tapi mujur apa yang dia mahukan itu senang nak dapat. Cuma nak mencarinya jauh.
“Saya menetap di kampung dekat Temerloh, Pahang. Kawasannya memang jauh dari bandar. Ada satu malam, isteri mengidam nak minum air matcha (green tea). Kau rasa?
“Saya cakap cari esok (waktu siang). Tapi dia dah menangis. Terpaksa keluar cari juga. Mujur ada,” jelasnya.
Ryan yang ditemui sejurus diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Popular Creator of The Year di Anugerah TikTok Award malam tadi turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang berpihak kepadanya.
Ryan berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang, lebih-lebih lagi melihat senarai calon lain yang bertanding termasuk pempengaruh tersohor, Sofyunk yang terkenal dengan kandungan kreatif.
“Sebenarnya saya tidak layak menang kerana merasakan Sofyunk lebih layak. Bila tengok mula dia tercalon, saya sudah tidak ada ‘selera’ lagi.
“Tapi kalau dia menang, saya memang suka. Nak dibandingkan saya dengan Sofyunk, dia lebih bagus kerana hasil kerjanya sudah sampai ke Hollywood.
“Dia juga sudah bekerjasama dengan beberapa aktor terkenal di sana (Hollywood). Apa-apa pun, saya bersyukur dengan kemenangan ini. Tanpa sokongan pengikut, tidak mungkin saya akan berada di tahap sebegini,” ujarnya.
Selain Ryan, TikTok Award yang pertama kali dianjurkan di Malaysia telah mengangkat pesohor media sosial, Khairul Aming sebagai pemenang utama, Cretor of The Year.
Manakala bagi kategori Celebrity of The Year pula dirangkul pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel. – HIBGLAM