RUMAH tangga pernah didakwa berakhir, kemunculan pasangan selebriti, Ben Ali dan Nadiyah Shahab dalam laman sosial menepis spekulasi liar sekali gus membuatkan peminat teruja.
Selepas sekian lama tidak tampil bersama, mereka yang mempromosikan menu manisan terbaharu di bawah jenama syarikat sendiri, Salted Egg Tiramisu tampak mesra bergurau senda.
Video pendek yang turut dikongsikan dalam laman sosial usahawan jelita itu secara tidak langsung seperti menunjukkan hubungan mereka dalam fasa positif.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen meluahkan kegembiraan melihat kedua-dua pelakon terbabit membuat konten bersama seperti dahulu.
Malah rata-rata bersyukur dengan perkembangan tersebut yang disifatkan sebagai permulaan baik selepas didakwa berdepan dugaan alam perkahwinan.
Begitupun, segelintir pemerhati berpendapat baik Ben mahupun Nadiyah profesional apabila menyentuh hal kerja dengan tidak mencampur adukkan masalah peribadi.
“Selalu mendoakan tiada apa-apa jadi antara anda berdua. Terus kembali bersama macam dulu ya,” tulis seorang peminat.
“Rindu sangat kat kalian berdua,” kata pemilik akaun Instagram lain.
Sekitar awal tahun ini desas-desus konflik antara mereka mula menjadi tanda tanya segelintir pihak terutama selepas masing-masing tidak meraikan Syawal bersama-sama.
Namun Nadiyah atau nama lengkapnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 31, dalam satu wawancara menegaskan tetap bersahabat baik dengan teman hidipnya itu walau dalam apa jua situasi.
Ben, 32, pula menjelaskan tiada apa-apa isu yang perlu diulas atau dibesarkan, sebaliknya mereka hanya baik-baik sahaja.
Pasangan yang mengusahakan perniagaan bersama-sama itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2018, namun belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. – HIBGLAM