Kian matang, Raisa dari sisi introvert, ekstrovert

NAMA Raisa sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Melihatkan deretan pencapaian yang diraihkan, kedudukan Raisa kini ibaratnya sudah setara diva Indonesia lain.

Mahu mengampuhkan lagi jenama di persada hiburan, Raisa atau nama lengkapnya Raisa Andriana meluncurkan album berjudul ambiVert yang mengumpulkan 11 karya sarat emosi.

Selepas tiga tahun sejak melancarkan buah tangan terakhir berjudul It’s Personal pada 2022, naskhah kali ini mencerminkan sisi kematangan dirinya sebagai seorang penggiat muzik.

Penyanyi berusia 35 tahun itu sendiri mengakui dirinya adalah seorang ‘ambivert’ iaitu individu memiliki sisi introvert dan ekstrovert yang saling melengkapi dalam kehidupan peribadi mahupun profesionnya.

RAISA menyifatkan dirinya memiliki kedua-dua ciri introvert dan ekstravert yang saling melengkapi sisi peribadi dan kariernya.

“Kadang-kadang kita dengar muzik yang hanya mahu berkait dengan perasaan kita atau ingin melupakan sesuatu.

Tetapi ada juga dendangan dalam album yang menemani kita dalam keadaan sukar. Saya mahu pendengar merasakan kedua-duanya dalam album ini.

“Jadi saya rasa ambiVert walaupun hanya 11 lagu tapi berbaloi sebab merangkumi pelbagai tema. Saya harap dapat setiap bingkisan meninggalkan impak buat peminat.

Kongsinya lagi, proses kreatif untuk pembikinan album ini bermula dengan sesi refleksi di studio selepas mengeluarkan segala isi dalam kepala.

“Sebaik sahaja masuk studio, biasanya saya akan duduk dan berkongsi mengenai mod yang dirasakan ketika itu.

Kami mulakannya dengan mengarang cerita, cipta imaginasi dan membayangkan situasi mengenai hal yang terjadi dalam kehidupan seharian.

“Disebabkan ini album kelima, jadi sudah banyak karya dihasilkan dan saya enggan ada cerita berulang. Saya cuba mencari tema yang belum diangkat.

Jika ada antara lagu pernah saya buat, kali ini, saya gali dengan lebih dalam. Kalau temanya masih sama, saya cuba kembangkan dengan ambil dari sudut pandang orang lebih dewasa dan bijaksana,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, biarpun sudah menghasilkan album kelima, pelantun lagu popular Kali Kedua itu tetap meragui kebolehan diri sendiri.

“Saya jadi overthinking, tidak percaya diri dan sering berfikir perkara yang tiada dengan bidang muzik hingga mengganggu emosi.

Tetapi, apabila masuk studio dengan ditemani pen serta helaian kertas kosong, saya dapat mencanai idea serta tulis sesuatu yang jujur.

“Saat itu, saya hanya fokus kepada luahan perasaan. Segala yang mengganggu fikiran akan hilang secara perlahan-lahan,” jelasnya.

RAISA ketika bercerita tentang album terbaharunya ambiVert di sebuah hotel Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain itu, dia juga sempat berkongsikan mengenai lagu Bila yang disifatkan sebagai karya sempurna sehingga menjadi seleksi paling digemari.

Ibu anak satu itu turut memaklumkan, Terserah pula merupakan untaian yang paling mencabar untuk dibawakan antara 11 lagu dihasilkan.

Lagu Bila bercerita mengenai andaian dan apakah yang bakal terjadi. Saya sifatkan lagu ini sebagai sempurna kerana lirik, melodi dan susunan muziknya seiring.

“Muziknya sangat segar dan saya belum pernah menyanyikan lagu seperti ini. Terserah pula sangat sukar, terutama jika saya kena menyanyikannya pada waktu pagi ketika menghadiri sesi promosi.

“Kalau boleh saya memang tidak mahu menyanyikan lagu itu.

“Namun, lagu ini memberi saya motivasi kerana perlu belajar kemahiran tertentu seperti pemanasan vokal sebelum menyanyikannya,” tutupnya. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok