TANGGAL18 Julai 2025 merupakan hari terakhir pelakon, Datuk Fizz Fairuz sebagai penyampai Morning Morning Suria (MMS) di Suria FM selepas genap setahun enam bulan bergandingan dengan Ajak Shiro dan Kai Hassan.
Perkara itu dikongsikan Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 45, ketika bersiaran dengan meninggalkan ucapan selamat tinggal kepada dua rakannya serta pendengar slot pagi terbabit.
Segala-galanya tampak berjalan lancar apatah lagi bapa kepada lima anak itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat demi keluarga terutama mahu membantu isteri, Datin Almy Nadia menguruskan permata hati mereka.
Hati busuk
Namun, tidak sampai beberapa jam kemudian tercetus tanda tanya ramai apabila Almy memuat naik hantaran dalam laman sosial ada individu berhati busuk di sebalik pengunduran suaminya.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik. Ditemukan dengan orang baik dan dikelilingi individu yang baik.
Dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka menganiaya. Alhamdulillah syukur padamu Ya Allah. Saya sayang awak,” tulisnya pada perkongsian dalam Insta Story.
Biarpun tidak memperincikan identiti individu dimaksudkan, spekulasi terus bertebaran sehingga nama orang tertentu dipetik netizen sekali gus mengundang polemik.
Sementara itu, tiada sebarang perkongsian dibuat Fizz dalam laman sosialnya bagi menjelaskan tindakan teman hidup yang susah senang di sisinya sejak 11 tahun lalu.
Namun keesokan harinya, bagai menunggu masa tepat lelaki bergelar penerbit dan pengarah itu tampil bersuara seolah-olah merujuk dakwaan Almy.
Menerusi perkongsian dalam TikTok, Fizz memuat naik video sindiran yang ditujukan kepada individu disifatkan sebagai batu api atau penghasut dalam kehidupan.
Batu api
Menyelar sikap segelintir manusia yang suka melaga-lagakan orang lain, dia seolah-olah cuba melepaskan beban yang terbuku di hati dengan menzahirkan rasa terkilan.
Seronok jadi batu api? Apa yang kau dapat dengan menghasut orang? Bangga bila kau jadi punca pergaduhan? Puas bila dua insan bertengkar kerana kau?
“Bila orang bertelingkah kau tambah bara. Bila mereka berselisih, kau galak menyibuk. Bahaya kalau berkawan dengan manusia sebegini,” ujar dalam audio dikongsikan.
Secara tidak langsung tindakan tersebut menguatkan lagi spekulasi netizen bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pengunduran aktor itu. Malah, ramai percaya wujud konflik antara bintang filem Mat Tudung itu dengan radio berkenaan.

FIZZ meninggalkan Morning Morning Suria (MMS) selepas genap setahun enam bulan bergandingan
dengan Ajak Shiro dan Kai Hassan.
Sementara itu, kemunculan pelakon Raja Azura dalam slot MMS pada 22 Julai lalu seolah-olah memberi bayangan bekas penyampai terbabit bakal menggantikan posisi ditinggalkan Fizz.
Begitupun, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, kehadiran selebriti versatil itu hanya rutin yang biasa dilakukan Suria FM sebelum ini iaitu mengundang penyampai jemputan.
Kak Engku tidak menggantikan tempat sesiapa, sebaliknya hanya sebagai penyampai jemputan berikutan kredibiliti dimiliki selaku bekas penyampai radio.
“Sebenarnya bukan setakat segmen pagi sahaja, waktu lain pun ada. Ada yang muncul sehari atau seminggu, bahkan terdapat juga jemputan ke udara selama sebulan,” ulasnya.
Walau apa pun, sama ada Fizz undur diri secara rela atau terpaksa, kedua-dua pihak boleh menyelesaikan sebarang isu di sebalik pintu agar nama Fizz dan Suria FM tidak menjadi buah mulut. – HIBGLAM