BAK kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Itulah yang terjadi kepada beberapa pelakon terkenal Bollywood yang bermula sebagai penari latar di awal kerjaya sebelum disunting menjadi hero dan heroin filem.
Hakikatnya, bukan semua pelakon di Bollywood bermula dengan debut yang indah. Ada yang perlu bermula dari bawah sebelum diangkat menjadi bintang bersinar di Bollywood.
HibGlam minggu ini menyenaraikan lima pelakon Bollywood yang bermula sebagai penari latar sebelum menempa kemasyhuran dan dipuja ramai.
Sushant Singh Rajput
Sebelum menempa populariti sebagai hero drama Hindi, mendiang Sushant terlebih dahulu menceburi dunia tarian.
Antara filem popular yang menampilkan Sushant sebagai penari latar adalah Dhoom 2 yang dibintangi Hrithik Roshan. Dia juga pernah menjadi penari latar untuk Aishwarya Rai sewaktu majlis penutup sukan Komanwel 2006 di Australia.
Sushant kemudian dilamar membintangi drama bersiri popular, Pavitra Rishta pada 2009 yang menjadi fenomena.
Disebabkan populariti luar biasa yang diraihnya, Sushant telah dilamar membintangi filem Kai Po Che! pada tahun 2013 sekali gus melonjakkan namanya di Bollywood.
Shahid Kapoor
Pelakon kacak ini memulakan langkah awal dalam bidang seni sebagai penari latar.
Sebelum membuat kemunculan pertama sebagai hero filem pada 2003 menerusi filem Ishq Vishk, Shahid terlebih dahulu terlibat sebagai penari latar untuk filem-filem Bollywood.
Antara yang paling diingati tentunya kelibat Shahid dalam filem Taal pada 1999 di mana dia menjadi penari latar kepada Aishwarya Rai menerusi lagu Kahin Aag Lage Lag Jaave.
Dia Mirza
Sebelum bergelar ratu cantik dan pelakon filem, Dia Mirza terlebih dahulu terlibat sebagai penari latar lagu Jumbalaka yang dimuatkan dalam filem Tamil berjudul En Swasa Katree pada 1999.
Disebabkan wajahnya yang jelita persis heroin filem, dia disarankan untuk menyertai pertandingan ratu cantik Femina Miss India pada 2000.
Selepas berjaya memenangi gelaran Miss Asia Pacific 2000, dia dilamar membintangi filem pertamanya yang berjudul Rehnaa Hai Terre Dil di samping aktor, R Madhavan pada 2001.
Ranveer Singh
Siapa sangka pelakon yang juga suami kepada aktres jelita Deepika Padukone ini pernah menjadi penari satu ketika dahulu.
Ranveer pernah muncul sebagai penari latar menerusi lagu popular Bole Chudiyan yang dimuatkan dalam filem Kabhi Kushi Kabhi Gham pada 2001.
Sembilan tahun kemudian, Ranveer memulakan kerjayanya sebagai pelakon menerusi filem Band Baaja Baaraat.
Daisy Shah
Sebelum disunting sebagai pelakon, aktres jelita Daisy Shah terlebih dahulu bergelar seorang pereka tari dan penari latar di Bollywood.
Banyak filem Bollywood dan Tamil yang menampilkan Daisy sebagai penari latar sejak 2001.
Pada 2014, dia dilamar aktor terkenal, Salman Khan untuk menjadi heroinnya dalam filem Jai Ho. Sebelum itu dia memulakan debut dalam bidang lakonan menerusi filem Tamil berjudul Bhadra pada 2011. – HIBGLAM