TIDAK pernah dilakukannya, Haneesya Hanee mengakui kekok pertama kali menjayakan watak isteri dalam drama popular, Aku Bukan Ustazah 2.
Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, mengakui berasa gementar dan kekok kerana buntu bagaimana mahu menghidupkan karekter isteri orang.
“Ini pertama kali saya pegang watak sebagai seorang isteri sebab sebelum ini selalu jadi perampas, rembat suami orang.
Agak kekok sebenarnya sebab tidak terdedah dengan pengalaman melihat hubungan suami isteri antara ibu dan bapa saya sebab mereka pun sudah berpisah sejak saya kecil.
“Jadi memang agak sukar sebab terfikir macam mana nak berlakon jadi seorang isteri di sisi suami. Jadi, saya cuma lakukan terbaik, ‘bedal’ sahaja,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Haneesya berterima kasih kepada setiap pelakon dalam drama tersebut terutama Fikhree Bakar yang berperanan sebagai suaminya dalam naskhah tersebut.
Dia bahkan mengakui tidak menjadikan mana-mana watak isteri sebagai rujukan sebaliknya menggunakan imaginasi sendiri untuk memastikan karakter Sally ‘bernyawa’.
“Syukur Fikhree banyak membantu dan kerjsama dengan dia berjalan lancar.
Saya tiada rujukan untuk watak Sally sebagai isteri tetapi hanya bayangkan situasi seorang wanita ‘sosial’ dan perlu kahwin dengan ustaz. Pastilah wanita itu akan ikut cakap suami untuk dapat bimbingan.
“Untuk hidupkan watak ini, saya tolak Haneesya sejauh mungkin dan beri nyawa kepada Sally. Syukur peminat Aku Bukan Ustazah 2 memberi respons yang baik setakat ini,” katanya lagi.
Selain Haneesya, drama Aku Bukan Ustazah 2 turut dibintangi Erysha Emyra, Zahiril Adzim, MK K-Clique, Shaza Bae, Syad Mutalib dan Nabil Aqil.
Drama arahan Idora Abdul Rahman itu kini rancak ditayangkan menerusi slot Lestary TV3 setiap hari Jumaat hingga Ahad pada pukul 9 malam. – HIBGLAM