BUKAN mengikut trend semasa, pelakon Kamal Adli yang menjadikan perkhemahan sebagai medium melepaskan lelah selepas penat bekerja menegaskan aktiviti itu sudah dilakukan sejak bertahun-tahun lalu.
Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, kebiasaannya dia memilih untuk memenuhi hobi itu di Janda Baik, Pahang yang disifatkan sebagai kawasan menghijau selain dekat dengan Kuala Lumpur.
“Sebenarnya saya dah lama berjinak-jinak dengan aktiviti perkhemahan. Sebelum jadi trend lagi saya dah memang kaki ‘camping’.
Sejak 10 tahun lepas lagi rasanya saya dah mula. Cuma, tidaklah setegar beberapa tahun kebelakangan ini apabila saya mula kumpul barangan perkhemahan yang lengkap.
“Saya pasang khemah macam banglo. Lengkap dengan tilam angin yang selesa, malah boleh tonton filem lagi,”
katanya selepas majlis penyerahan kenderaan JETOUR T2 di program International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), baru-baru ini.
Berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kamal bersama beberapa artis lain termasuk Ernie Zakri, Azhan Rani dan Sara Ali dipilih sebagai jurucakap bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) lasak tersebut.
Menurut bapa tunggal kepada seorang anak itu, dia terharu apabila menerima sebuah kenderaan JETOUR T2 yang disifatkan bertepatan dengan minatnya terhadap aktiviti lasak terutama perkhemahan.
“Inilah kereta yang saya perlukan. JETOUR T2 sangat memudahkan kerana sebelum ini saya hanya memandu kereta sedan yang kurang praktikal dilenjan untuk aktiviti sebegini.
Apabila ada kenderaan SUV lasak seperti ini, saya rasa memang ‘kena’ dengan saya yang gemar mengikuti aktiviti ‘ourdoor’,” ujarnya.
Kongsi pelakon drama Hening Cinta itu, hobi berkenaan bukan sahaja dapat menghilangkan lelah, bahkan mampu memberikan momen manis bersama puterinya, Hawra Uqaira.
Pada masa sama, Kamal turut menzahirkan penghargaan kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose yang sama-sama menjaga permata hati mereka.
Tahun ini saya memang kerja. Insya-Allah, rezeki tak putus-putus daripada Allah. Gembira sangat dan saya bersyukur senang luangkan masa dengan Hawra.
“Tiada masalah pun. Saya dan Uqasha okey. Kami laksanakan ‘co-parenting’ yang sangat bagus. Alhamdulillah,” kongsinya.
Bercerita lanjut, antara projek terbarunya adalah Premier League I Love You selain bakal memulakan penggambaran filem Pelisit Kota.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha yang mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 bercerai 12 Januari 2026. Mereka dikurniakan Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024. – HIBGLAM
