‘Bila ada yang cemburu, kita boleh jatuh sakit’

TERLALU berkongsi kebahagiaan dalam media sosial, pelakon Elfira Loy mengakui pernah diserang penyakit ain hingga menjejaskan kehidupan harian dan rumah tangga bersama suami tercinta.

Ujar Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, penyakit ain bukan sekadar mitos, sebaliknya berpunca daripada hasad dengki serta pandangan mata penuh iri terhadap kebahagiaan orang lain.

“Penyakit seram yang paling saya takut adalah penyakit ain. Orang tu tak buat apa-apa pun, tapi bila ada cemburu mendalam, kita boleh jatuh sakit.

Dulu saya tak terlalu percaya. Bukan tak percaya langsung, cuma saya yakin Allah sentiasa melindungi. Lagipun niat saya bukan untuk menunjuk.

“Tapi bila ada seseorang yang cemburu akan kita, kita boleh kena penyakit ain. Itu lebih seram sebab tak ada cara untuk ubati.” katanya dalam sebuah audio siar.

Tambah pelakon Damping Malam itu, emosinya menjadi tidak stabil hingga memberi kesan terhadap perhubungan bersama suami ketika berdepan ujian tersebut.

“Saya jadi malas, lemah, cepat marah dan hubungan dengan suami pun jadi tak seronok.

“Tapi bila saya mula sakit, saya terus cari orang yang betul untuk rawat. Jangan biar berlarutan,” ujarnya.

Mengambil pengajaran daripada pengalaman itu, ibu dua anak itu kini lebih berhati-hati dalam berkongsi tentang rezeki dan nikmat hidup yang dimiliki.

“Saya cuba elakkan kongsi cerita secara berlebihan.

Semua rezeki ni datang daripada Allah, bukan sebab kita hebat. Jadi saya kembalikan semuanya kepada Dia,” luahnya.

Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 1 Januari 2019.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Rayyan Khalaf, 6 dan Nur Aria Mikayla, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok