‘Saya tak faham, kalau sayang binatang janganlah korbankan’

PELAKON Datin Atikah Suhaime meminta mana-mana individu tidak memuat naik kandungan yang memaparkan momen sedih haiwan peliharaan kesayangan mereka menjadi haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha.

Menurut Atikah, 34, lambakan perkongsian sebegitu membuatkan hatinya berasa sayu setiap kali Aidiladha menjelang.

“Media sosial saya dibanjiri konten orang yang jaga kambing atau lembu sejak kecil dengan penuh kasih sayang kemudian harus korbankan pada Hari Raya Aidiladha.

Saya tak faham, kalau sayang binatang itu, janganlah korbankan dia.

“Korbankan sahaja lembu atau kambing yang lain. Maaf mungkin ilmu saya tak banyak tapi apa tujuan muat naik itu semua dan buat saya menangis sepanjang raya korban ini,” katanya dalam InstaStory.

Tambahnya, dia juga mempersoalkan sama ada daging korban tersebut boleh dimakan atau tidak disebabkan rasa kasihan pemilik haiwan.

“Bukan ke kalau sudah kasihan, tak boleh makan?

Tak sanggup korbankan my baby (kucing hitam) dari kecil sudah jaga dia,” ujarnya.

Dia juga berpendapat mengorbankan haiwan yang dipelihara sejak kecil adalah tindakan yang kejam.

“Jadi, bila orang kongsi momen sedih terpaksa korbankan haiwan yang mereka jaga, rasa kejamnya.

“Mungkin saya salah tetapi itulah pandangan peribadi. Terima kasih kepada yang kongsi ilmu dan banyak lagi perlu saya pelajari.

“Cuma saya rasa orang harus berhenti muat naik konten sedih sayang lembu atau kambing kemudian jadi korban sebab terasa kejam di mata orang yang kurang ilmu seperti saya,” ujarnya.

Semalam, pelakon dan model Thanuja Ananthan mengakui emosinya terkesan melihat haiwan disembelih setiap kali musim Hari Raya Aidiladha.

Dia juga terpaksa berhenti menghabiskan masa di media sosial buat masa ini kerana tak sanggup melihat haiwan disembelih. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok