Memberi bayangan seolah-olah dilamar seseorang, penyanyi Wani Kayrie mengakui foto cincin berlian dimuat dalam laman sosial yang mencetuskan spekulasi hanya perhiasan dalam video muzik lagu terbaharunya, Cak Cak Cekuk.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 25, menjelaskan bahawa barang kemas tersebut digunakan sebagai tanda seorang puteri raja bakal menerima lamaran daripada putera.
Sebenarnya, cincin itu merupakan ‘watak utama’ dalam penceritaan muzik video Cak Cak Cekuk. Ceritanya bermula bila seorang puteri raja mahu mendirikan rumah tangga.
“Jadi, cincin yang saya muat naik itu merupakan cincin yang disarungkan oleh puteri raja berkenaan ketika menerima lamaran cinta si putera raja,” katanya.
Menjawab mengenai spekulasi tentang kisah percintaan, pelantun lagu Aksara Cinta itu memberi tumpuan lebih kepada kerjaya seni selain bakal kongsi berita gembira pada waktu tepat.
Buat masa ini, saya mahu fokus pada kerjaya.
“Mungkin bila sudah sampai masanya, saya akan kongsikan kepada semua,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Wani mencetuskan spekulasi apabila memuat naik gambar sebentuk cincin berlian dan hanya menyertakan emoji cincin bersama bintang berlatarkan lagu duet Mahalini dan Rizky Febian berjudul Bermuara.
Ramai yang mengucapkan tahniah atas perkongsian tersebut serta memetik nama penyanyi Afieq Shazwan yang sebelum ini pernah bergelar kekasihnya. -HIBGLAM