SEDAR akan keburukan menyimpan barang tidak digunakan, pelakon Nora Danish menjual kesemua koleksi kasut tinggi berjenama yang jarang dipakai.
Berkongsi lanjut, Nora atau nama lengkapnya Nora Danish Mohd. Haniff, 43, memaklumkan hasil jualan tersebut akan digunakan sebaik-baiknya termasuk bersedekah.
Saya refleks balik diri saya, apa yang tak pakai dekat rumah dan simpan. Saya ‘let go’ (lepaskan).
“Duit tersebut akan digunakan untuk beli benda baharuu yang kita perlukan atau bersedekah.
“Mana-mana yang bersesuaian dengan anda. Semoga bermanfaat,” katanya dalam InstaStory.
Tindakan menjual barangan peribadi bermula selepas pelakon filem Sayu Yang Syukur itu menghayati pembelajarannya tentang surah al-Humazah yang mana golongan melebihkan harta akan turut dimasukkan ke neraka.
“Pagi tadi (semalam) saya ulang kaji apa yang belajar dekat kelas, terbuka surah al-Humazah tentang golongan pengumpat dan pengkeji yang akan dimasukkan dalam neraka khas iaitu al-Hutamah.
Neraka ketiga kebawah. Bawah sekali neraka Jahanam, Jahim dan al-Hutamah.
“Neraka ini dibuat untuk golongan pengumpat dan pengkeji termasuk golongan yang menghitung harta iaitu meletakkan harta lebih dari Allah,” ujarnya.
Tahun lalu, Nora mengakui rutin menghadiri majlis ilmu menguatkan keinginannya untuk bertudung.
Ibu kepada dua anak itu semakin aktif berkongsi momen tenang dan penuh makna dalam media sosial sejak penampilannya yang lebih sopan. – HIBGLAM