‘Bukan saya’ – Adira nafi diterajang bekas madu

BUKAN saya.”

Demikian maklum balas penyanyi, Adira Suhaimi mengenai hantaran dibuat bekas madu, Sharifah Norshafila Hashim yang mendakwa pernah bercakaran dengan seseorang di kediamannya dahulu.

Adira atau nama lengkap Siti Adira Suhaimi, 33, menegaskan tidak mengetahui mengenai perkongsian ditinggalkan madunya dalam InstaStory, apatah lagi berkaitan isu menerajang wanita lain.

“Memang saya tak tahu menahu pun fasal posting dibuatnya tetapi yang pasti orang dia pernah bercakaran itu bukan dengan saya.

“Saya tak rasa itu adalah saya, memang bukan saya. Kalau mahukan kepastian boleh tanya kepada tuan empunya badan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert MeleTOP, TVS, malam semalam.

Ditanya komunikasi dengan bekas madunya, kata ibu tunggal kepada empat anak itu dia terbuka untuk menjalin hubungan baik dengan mana-mana pihak.

“Saya terbuka untuk sesiapa sahaja yang nak ada hubungan baik dengan saya dan sudah tentu saya akan layan sehabis baik, insya-Allah.

“Apa yang pasti, kita jaga hubungan sesama kita agar mampu meneruskan hidup dengan tenang,” ujarnya.

Sebelum ini, Sharifah Norshafila menerusi perkongsian di Instagram Story membuat pengakuan pernah mencakar seorang wanita di rumahnya.

Dalam hantaran tersebut, wanita terbabit mengakui bukan hanya mencakar, malah turut terajang wanita berkenaan.

“Zaman dah berlalu, masa usia muda lagi. Saya ada darah pahlawan. Tak habis dari situ, bukan setakat cakar saja, aku terajang sampai terpelanting,” tulis bekas isteri kepada Datuk Red itu.

Difahamkan, Norshafila kembali mengingat insiden itu susulan konflik rumah tangga pempengaruh, Jofliam dan isteri, Dewi serta bekas isteri, Cik Epal yang bercakaran serta bergaduh, baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok