PENYANYI Naqiu mendedahkan individu yang sedang disaman pihaknya atas dakwaan penipuan RM100,000 bertindak menimbulkan provokasi dalam media sosial selepas gagal menyelesaikan kes secara baik.
Menurut Naqiu atau nama penuhnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib, 38, cubaan menyesatkan fakta dan memburukkan reputasi pengurusannya dibuat selepas permintaan ‘settle tepi’ ditolak.
“Saya ada dapat mesej daripada individu tersebut sebelum puasa, dia berkias mahu ‘settle tepi’, tapi pada masa sama tetap mahu menyalahkan pengurusan saya kononnya ada cubaan memerangkapnya.
“Saya katakan, pihak pengurusan saya ada simpan semua bukti mengatakan dia gagal membayar saya seperti dipersetujui dalam perjanjian.
Tambah juara Gegar Vaganza 2019 itu, dia memilih untuk tidak melayan tohmahan, sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah.
“Saya bukan budak-budak mahu bergaduh dalam media sosial. Sebagai selebriti, segala kerja kami diuruskan pihak pengurusan secara profesional.
“Jika sudah ada kontrak, maka bayaran juga wajib disempurnakan. Dia tak tipu saya peribadi, tapi dia tipu pihak pengurusan.
“Ini bukan perjanjian kawan-kawan. Bila saya dah turun padang buat kerja, sudah tentu kena bayar seperti dijanjikan,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka #Raya Sempoi anjuran Mind Order di Kueh Café, Seksyen 16 di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, sekitar Januari lalu, penyanyi itu melalui peguam menghantar surat tuntutan kepada individu yang menggunakan namanya untuk video promosi tanpa izin.
Individu sama turut didakwa gagal membuat bayaran untuk projek pembikinan single tahun lalu, sekali gus mendorong tindakan saman difailkan di mahkamah. – HIBGLAM.