JADUAL kerja terlalu padat disebabkan fenomena lagu Serumpun sejak Ramadan lalu, kesihatan penyanyi Mimi Fly kini sedikit merosot sehingga berdepan masalah ulser dalam tekak.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, jadual kerjanya penuh sehingga Jun depan termasuk terpaksa memenuhi undangan nyanyian hampir setiap hari.
“Akibat memakan makanan yang terlalu berasid, stres dan tidak cukup tidur sehingga membuatkan bacaan asid dalam perut tinggi seperti gastrik. Sekarang ini ada banyak ulser dalam tekak saya.
“Saya tak sempat rehat sebab banyak persembahan tapi tidak mahu ‘complain’.
“Sejujurnya saya tidak berhenti buat persembahan sejak lagu Angkat diluncurkan,” katanya.
Ujarnya, ini juga merupakan pengalaman dihujani banyak tawaran persembahan hampir sama seperti zaman ketika bersama kumpulan One Nation Emcees.
“Pernah One Nation Emcees menerima sambutan sebegini ketika lagu Anak Kampung cuma sekarang saya bergerak solo.
“Saya rasa ini semua rezeki, saya tak mahu merungut sebab ini semua saya yang minta. Tidaklah mahu cakap saya penat sebab memang suka buat persembahan.
“Inilah benda yang saya rindukan iaitu kembali aktif menyanyi. Hari-hari pun sanggup buat persembahan tetapi tak mengapa saya puas,” katanya lagi.
Sehingga kini, muzik video lagu Serumpun ciptaannya dan Cuurley itu sudah mencecah lebih 8.4 juta tontonan sejak dimuat naik dalam YouTube 19 Mac lalu. – HIBGLAM