KALI terakhir melihat wajah Amelia Henderson dalam layar perak adalah sewaktu Pulau ditayangkan sekitar 2023.
Selepas dua tahun, Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson kembali menjadi bunga panggung beraksi dalam filem Blood Brothers: Bara Naga.
Meskipun muncul dalam filem aksi, Amelia tidak melakonkan sebarang babak pertarungan, sebaliknya lebih banyak bertarung emosi.
Selain menonjolkan emosi dalaman, aktres berusia 30 tahun itu mengakui tertekan untuk membina keserasian dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang pertama kali digandingkan bersama.
Sharnaaz profesional
Amelia bagaimanapun memuji profesionalisme anak kelahiran Pulau Pinang itu yang memudahkannya melakonkan adegan romantis walaupun julung kali bersua muka.
“Saya kenal Sharnaaz tetapi tidak pernah berjumpa atau ada peluang bercakap dengan dia, jadi mahu bina keserasian kurang sikit. Kalau jumpa pun melalui sesi bacaan skrip, kami ada bercakap sikit tetapi belum cukup rapat sebagai kawan.
Bila masuk set penggambaran, adegan kahwin adalah babak pertama saya dan Sharnaaz, kalau difikirkan itu pun sudah cukup kekok.
“Namun bekerja dengan Sharnaaz sangat senang sebab dia begitu profesional. Masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada HibGlam.
Amelia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada bintang berpengaruh itu yang membantunya membawakan watak Shiela dengan sebaik mungkin.
“Pada malam sama, kami juga harus jayakan babak agak tegang, saya gementar dan tidak tahu melakonkan babak berkenaan, namun saya bersyukur kerana Sharnaaz banyak bagi semangat.
“Saya kena ucap terima kasih kepadanya kerana dia seorang pelakon yang sangat hebat. Jika bukan Sharnaaz sebagai Ghaz, lakonan saya tidak ke mana.
Dia banyak bantu saya untuk mengeluarkan satu sudut lakonan yang saya rasa sangat beremosi,” tambahnya.
Babak baring
Berkongsi lanjut, selebriti berdarah kacukan itu mengakui watak Shiela sangat sukar kerana perlu bermain banyak emosi dalam masa sama, harus ada kelembutan.
“Dalam filem ini, perkara susah bagi saya adalah bermain dengan emosi sebab saya tak ada babak berlawan langsung. Jadi, tugasan saya untuk bawa elemen kelembutan.
Saya ada rasa tekanan untuk hasilkan hubungan dengan Sharnaaz supaya nampak kami ada keserasian,” tuturnya.
Selain permainan dalaman, Amelia memberitahu babak perlu berbaring juga bukan tugasan yang mudah baginya kerana tidak boleh menggerakkan badan.
“Dari segi fizikal, susahnya bahagian saya perlu berbaring sebab tidak boleh bergerak termasuk mata.
“Bila bekerja kita ‘overthinking’, jadi mata pun ada bergerak. Saya ‘tension’ sangat sebab semua orang dah berikan yang terbaik.
“Tetapi saya pula yang tidak boleh berhenti bergerak. Saya kerap minta maaf dengan semua orang tetapi mereka memahami keadaan saya,” tutupnya.