BINTANG dalam pembikinan. Itu antara gelaran buat Siti Hariesa yang kini mencuri perhatian ramai apabila kerap dipilih mengisi watak heroin drama popular tempatan dalam tempoh dua tahun ini.
Terbaharu, dia muncul lagi menerusi drama slot Akasia TV3 dan platform penstriman Tonton iaitu Calon Isteri Buat Suami bersama Jazmy Juma serta Bru pula digandingkan dengan Shukri Yahya.
Tersipu malu dikatakan semakin laris, Hariesa berkata, dia hanya menerima dan memberi lakonan terbaik untuk setiap tawaran.
Dia bahkan tidak meletakkan sebarang harapan menggunung untuk setiap naskhah apatah lagi cerewet dalam menerima sebarang tawaran.
“Over kalau label sebagai pelaris sebab saya bukan di tahap itu, namun kalau orang suka lakonan saya, sangat hargainya.
Setakat ini saya tak memilih naskhah dan enggan terlalu tamak. Kalau ada yang datang serentak, saya terpaksa tolak salah satu ikut jadual kerja.
“Terima apa sahaja tawaran mendatang sebab risau pula kalau tolak sekali, kemudian tiada kerja selepas itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menganggap dirinya ‘hijau’ dalam industri lakonan, dia masih berada dalam fasa mencuba pelbagai karakter bagi membuktikan kemampuan sebagai pelakon.
“Saya terima tawaran ikut kemampuan, namun mahu mencuba semua karakter. Tak kisah nampak buruk sekali pun asalkan penonton dapat lihat kemampuan lakonan saya.
“Bukan sahaja naskhah, saya juga tak pernah pilih hero gandingan sebab yakin dengan pilihan produksi, mungkin mereka nampak ada keserasian dan hasil yang terbaik.
“Syukur setakat ini selalu dapat hero gandingan yang hebat dan nama-nama besar sekali gus banyak membantu saya tambah baik kualiti lakonan untuk setara dengan mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia mengakui terharu dengan sokongan peminat, malah ada yang mula mencadangkan namanya untuk digandingkan dengan beberapa aktor lelaki untuk mana-mana drama.
Lucu, bukan saya yang request sebaliknya peminat pula yang cadangkan kepada syarikat produksi beberapa nama pelakon lelaki untuk digandingkan dengan saya.
“Dengar macam kelakar tetapi apabila orang sudah cadangkan itu ini, saya memang terharu dan teruja sebenarnya sebab akhirnya orang nampak bakat saya, satu petanda yang baik sebagai pelakon juga,” tuturnya.
Nama bersih
Melihat perjalanan kerjaya seni, pemilik nama penuh Siti Hariesa Muhammad Hanafi itu hanya memberi satu jawapan iaitu ‘berkembang’.
Akuinya kontroversi drama Perempuan Itu yang melibatkan dirinya dua tahun lalu banyak mengajarnya daripada segala aspek.
“Saya nampak diri sendiri semakin mekar berkembang. Drama Perempuan Itu banyak mengajar saya menjadi individu lebih baik termasuk dari segi lakonan.
“Saya rasa bangga dengan pencapaian diri sendiri sekarang. Mungkin orang lihat macam tiada apa tetapi semua yang sudah saya lalui ini luar biasa.

MUNCUL dengan drama Bru menjayakan watak gadis barista, Hariesa bagaimanapun mengakui bukan pencinta tegar kopi.
Biarlah perlahan atau orang kata sendu sekali pun tetapi saya suka dengan perjalanan ketika ini,” jelasnya.
Ditanya sama ada selesa dirinya jarang menjadi bahan bualan ramai, dia menegaskan tidak perlu menjual diri dengan cerita kurang berfaedah.
“Kalau orang kata nama saya bersih, alhamdulillah, okey sahaja begini, cukup orang tahu kewujudan dan bakat saya.
“Saya tak kisah dan tak perlu nak jual diri dengan kontroversi murahan. Kalau boleh elak, kita cuba selagi mampu cuma tak tahu apa yang mendatang pada masa depan, bersedia sahaja,” jelasnya.
Baginya, sasaran utama ketika ini ialah bagi memastikan namaya terus relevan sebaris dengan pelakon hebat tanah air lain.
“Bakat, itu sahaja cara untuk nama kekal terpahat.
“Kalau nak cakap faktor umur tak boleh juga sebab ada yang sudah umur 40 tahun pun masih pegang watak utama dan heroin.
“Kena terus belajar, itu sahaja kuncinya, jangan berhenti,” katanya lagi.
Kahwin
Sempat diusik cerita peribadi, bintang drama Rajuk Karina itu terbuka mengakui sedang mengenali hati budi seorang jejaka ketika ini.
Malah, dia juga memberitahu niat untuk menamatkan zaman bujang sudah mula terbit dalam dirinya.
“Saya berkawan rapat dan sedang mengenal hati budi seseorang cuma buat masa sekarang, saya tak akan dedahkan siapa, biarlah rahsia.
Kalau cakap pasal kahwin, jiwa muda dan memang nak cari jodoh, umur pun sudah 27 tahun cuma saya tidaklah tergesa-gesa atau terdesak.
“Sejujurnya saya memang nak kahwin dan rasa umur semakin meningkat,” akuinya.

TIDAK mengejar populariti segera, Hariesa mahu terus menambah baik kualiti lakonan dan diletakkan sebaris dengan pelakon terbaik tanah air lain.
Dia bagaimanapun memberitahu mendirikan rumah tangga memerlukan komitmen yang tinggi dan menuntutnya untuk menstabilkan kehidupan terutama dari aspek kewangan terlebih dahulu.
Hasrat nak kahwin memang ada tetapi biar saya stabilkan hidup dulu, cari duit banyak-banyak dan sayangi diri sendiri paling utama.
“Naluri perempuan memang nak kahwin cuma kita tak tahu apa yang Allah sudah tentukan, insya-Allah dalam tempoh lima tahun ini mungkin sudah bergelar isteri orang,” katanya mengakhiri perbualan.