GARA-GARA bergurau tidak kena tempat, pelakon Diana Danielle dihentam netizen apabila berkongsi foto memegang tangan seseorang ketika statusnya masih dalam tempoh idah selepas bercerai pada minggu lalu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik pelakon berusia 32 tahun itu dalam Instagram miliknya, Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson dilihat memegang tangan seseorang sambil tersenyum ketika berada di sebuah restoran.
POV: You’re on a date with me (awak sedang ‘dating’ dengan saya),” tulisnya.
Meskipun tangan yang dipegang itu adalah milik wanita dipercayai pengurusnya, perbuatan Diana mengundang rasa kurang senang segelintir netizen yang menasihatinya menjaga kelakuan bagi mengelak fitnah.
“Jaga idah. Kita orang Islam,” nasihat seorang netizen.
“Jangan ambil remeh. Awak masih dalam idah. Semoga Allah SWT permudahkan urusan,” ujar seorang pengguna Instagram.
Orang perempuan kena jaga iddah selepas bercerai. Akhir zaman, wanita tak rasa malu lagi bila diceraikan,” kata seorang lagi netizen.
Selepas turun naik mahkamah selama hampir enam bulan, rumah tangga Diana dan pelakon, Farid Kamil berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.
Farid, 42, yang tidak dapat hadir ke mahkamah atas faktor kesihatan melafazkan talak satu kepada Diana secara dalam talian menerusi Google Meet di hadapan hakim syarie.
Diana yang memfailkan perceraian pada 10 Mac 2023 mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai dengan Farid.
Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – HIBGLAM