4.9K
Mahu mengikut jejak langkah arwah ibu, anak tunggal usahawan selebriti Ridzuan Ridzokumura, Sky Taizo Okumura bercita-cita melanjutkan pengajian ke luar negara beberapa tahun lagi.
Sky, 13, berkata dia ingin mengikut jejak langkah arwah ibunya, Allahyarham Akiko Okumura menimba ilmu di negara orang, selain belajar berdikari.
“Saya mahu menyambung pelajaran ke luar negara dan pasti dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, saya dapat mencapainya.
“Saya perlu berusaha lebih keras dan fokus terhadap pelajaran. Sebelum ini, ibu melakukan semuanya, manakala saya cuma bersenang-senang.
Sekarang saya harus belajar menguruskan semuanya sendiri termasuk memasak. Sudah tiba masa untuk saya berubah,” katanya menerusi perkongsian video di laman sosial.
Begitupun, bapanya Ridzokumura atau nama sebenar Abd. Ridzuan Abd. Mutalib agak keberatan ‘melepaskan’ putera tunggalnya itu, apatah lagi mereka baru kehilangan Akiko.
Awak tak boleh belajar di luar negara, awak perlu tinggal di Malaysia. Kalau awak pergi, tak kesihankah pada daddy?
“Daddy baru hilang mommy dan kalau awak tiada, macam mana dengan daddy,” ujarnya.
Berusaha memujuk ayahnya, Sky tetap menaruh harapan untuk merealisasikan impian menjadi seperti ibunya.
Terdahulu, Ridzuan akhirnya mendedahkan tragedi yang berlaku kepada Allahyarham Akiko yang difahamkan terjatuh dari tingkat empat kediaman mereka.
Pada 1 Mac lalu pendandan rambut terkenal itu berkongsi berita duka mengenai pemergian teman hidup yang dikahwini sejak 2009 itu namun tidak memperincikan punca sebenar.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Selangor, pada keesokan harinya.
Pemergian mengejut wanita asal Jepun itu meninggalkan kesan mendalam kepada Ridzuan dan Sky serta menyentuh emosi ramai. – HIBGLAM