‘Hanya 2 hari dapat berbuka puasa dengan isteri’

BIARPUN tahun ini merupakan kali pertama menyambut Ramadan sebagai seorang suami, pelakon Redza Rosli terpaksa berkorban masa dengan isteri tercinta, Bella Hanna disebabkan tuntutan kerja.

Menurut Redza atau nama lengkapnya Ahmad Redza Rosli, 33, tahun ini dia sibuk dengan penggambaran drama 50 episod, Dendam Seorang Madu yang masih dalam pembikinan.

“Alhamdulillah produksi beri cuti selama dua hari untuk para pelakon berbuka puasa bersama keluarga. Selebihnya kami akan menjalani penggambaran sepanjang bulan Ramadan ini.

Saya bersyukur kerana memiliki isteri yang sangat memahami kerjaya saya kerana dia juga pelakon.

“Kami masing-masing tahu bila waktu sesuai untuk bertemu di rumah. Selalunya bila saya balik kerja, dia pun sudah selesai tugasnya dan berada di rumah,” katanya kepada HibGlam

Tambah Redza, dia tidak risau kerana jarak rumah keluarga masing-masing sangat dekat dan itu memudahkan isterinya pulang ke rumah keluarga pada bila-bila masa untuk berbuka puasa ketika dia sibuk di lokasi penggambaran.

Berkongsi pengalaman berlakon pada bulan puasa, kata Redza tugasnya sebagai pelakon sangat mencabar kerana banyak tenaga yang diperlukan.

“Berkerja ketika bulan puasa sangat merisaukan kerana kalau boleh kita tak mahu tinggal puasa. Drama ini pula bermain dengan emosi. Barisan pelakon pula hebat-hebat. Kena bagi lebih tenaga.

Saya pula ada masalah gastrik. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita sengaja nak tinggal puasa melainkan ada surat daripada doktor,” ujarnya.

Untuk rekod, Redza dan Bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok