PENGACARA popular Sherry Alhadad menafikan dakwaan sudah memutuskan persahabatan dengan rakan karibnya, pelakon Nad Zainal.
Kata Sherry atau nama lengkapnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, meskipun Nad Zainal seolah-olah hilang dari radar seni tanah air, dia masih berhubung dengan ibu bapa rakannya itu untuk bertanya khabar.
“Saya dan Nad Zainal masih berkawan.
Saya masih berhubung dengan ibu dan bapa Nad, saya gembira dia kini sudah menemui kebahagiaan yang dia cari malah bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.
“Semuanya berkat doa dan pertolongan ramai orang ketika dia memerlukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di majlis Sidang Media Drama B.A.R.I.S.T.A : Misi Terpaling Sulit, semalam.
Ditanya bila kali terakhir berhubung dengan aktres terbabit, penghibur berusia 39 tahun itu berkata, mereka bersua muka sebelum Nad mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Meskipun tidak dihubungi sehingga ke hari ini, Sherry percaya masing-masing mempunyai komitmen sendiri selain terlalu sibuk sehingga tiada ruang untuk bertanya khabar.
Setakat ini, saya masih belum hubungi dia, dia juga tak hubungi saya. Masing-masing sudah ada tanggungjawab, saya dengan hidup saya dan begitulah sebaliknya.
“Namun saya tidak pernah lupa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan dia, saya kenal dia daripada umurnya 17 tahun, hanya baik-baik sahaja yang saya doa walau apa pun keputusan yang dibuat dalam hidupnya ,” jelas Sheryy berhati-hati.
Paling penting kata Sherry, dia masih sahabat Nad Zainal dan menyayangi isteri kepada pelakon Ungku Ismail itu seperti adik sendiri.
Sebelum ini Nad Zainal dikatakan berlagak apabila tidak senyum atau membalas sapaan peminat sewaktu menjayakan sebuah program festival jualan.
Kini dakwaan sama dilemparkan kepadanya namun lebih terarah kepada sombong dengan rakan selebriti selepas berkahwin dengan Ungku Ismail – HIBGLAM