‘Lakonan ada jiwa, itu definisi kemenangan sebenar’

DI layar perak, televisyen mahupun panggung teater, nama Sara Ali bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati.

Kemenjadian lakonannya yang sarat dengan emosi, jiwa dan nyawa menjadikannya antara aktres disegani di tanah air.

Lebih sedekad bersinar di persada seni, pemilik nama penuh Siti Sarah Hairi Ali itu terus membuktikan kehebatannya dalam setiap watak dijayakan seolah-olah bukan berlakon tetapi hidup dalam dunia yang dibawanya ke skrin.

Bagi Sara, seni bukan sekadar tentang membawa watak tetapi menghidupkan setiap perasaan dan menjadikan penonton turut merasai setiap detik emosi yang digambarkan.

Dengan graf lakonan cemerlang, bahkan sudah berkali-kali tercalon dalam pelbagai anugerah berprestij, nampaknya belum ada rezeki Sara menggenggam trofi kemenangan.

Tidak melenting, jauh sekali menyalahkan mana-mana pihak, wanita berusia 35 tahun itu menganggap dirinya belum bersedia untuk memenangi trofi besar.

Baginya, kemenangan dalam sesebuah anugerah seharusnya memberi impak positif kepada industri dan masyarakat, bukan sekadar perhiasan di rak trofi.

Untuk menang ‘award’, bukan hanya soal bakat atau pencapaian, tetapi soal apa yang boleh diberikan semula kepada masyarakat.

“Itu tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh pemenang,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon filem Kami Histeria itu juga tidak melihat ketiadaan trofi sebagai kekurangan, malah menganggap semua itu satu ruang untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

“Kalau saya tak menang apa-apa ‘award’ pun tak apa sebab saya tak tahu apa yang boleh diberikan semula kepada masyarakat.

Kalau menang, kena letakkan satu penanda aras yang tinggi. Jadi, mungkin lebih baik saya tak menang dulu, kekal di bawah dan fokus pada usaha memperbaiki bakat.

“Tidak mengapa, saya okey dengan itu,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang anugerah idaman, Sara tidak berselindung malah mengakui Festival Filem Malaysia (FFM) adalah matlamat utamanya.

“Kalau tanya saya, FFM adalah impian. Siapa tak nak menang di FFM? Itu satu pengiktirafan besar.

Kita tengok Beto Kusyairy, dia menang anugerah pelakon pembantu dan pelakon terbaik pada tahun lepas. Itu sebab dia matang dan bersedia memberikan sesuatu yang berharga kepada penonton.

“Kalau boleh, saya nak menang bila dah macam dia. Saya nak lakonan saya ada jiwa, ada rasa. Itulah definisi kemenangan sebenar bagi saya,” katanya pada majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa, baru-baru ini.

Berbicara mengenai perkembangan terbaharu, Sara bakal muncul dengan filem Bisikan Dosa arahan Faizul A. Rashid yang mula ditayangkan di seluruh negara semalam.

Selain Sara, filem terbabit turut menampilkan deretan pelakon hebat seperti Che Puan Juliana Evans, Farid Kamil, Uqasha Senrose dan Sherie Merlis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok