Kumpulan KRU terus melakar sejarah tersendiri apabila Konsert GENKRU hari kedua yang bakal berlangsung pada 4 Mei 2025 habis terjual dalam tempoh kurang satu jam.
Pihak penganjur iaitu Iman Tang yang juga pemilik Icon Entertainment sangat terharu dengan sambutan hangat daripada peminat selepas pembeliannya secara dalam talian dibuka pada pukul 3 petang tadi.
Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa satu jam manakala tiket hari kedua habis dalam durasi 45 minit.
“Ini semua merupakan tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat ikon trio negara kita.
“Saya mewakili Icon Entertainment dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’ (terkedu),” katanya dalam sebuah kenyataan.
Dalam masa sama, Iman menjanjikan pengunjung yang hadir semasa Konsert GENKRU pada 3 dan 4 Mei tahun hadapan akan mendapat pengalaman berharga menyaksikan persembahan adik-beradik itu.
Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapatkan kepuasan maksima pada dua-dua hari konsert itu kelak, ” ujarnya.
Sebelum ini, Icon Entertainment mengumumkan bahawa tiket konsert GENKRU pada hari pertama habis dijual dalam tempoh satu jam.
Disebabkan sambutan tersebut, penganjur bersetuju untuk menambah satu hari lagi konsert khas buat peminat.
Kali terakhir KRU mengadakan konsert adalah pada 2018 di Istana Budaya. Sepatutnya, konsert berkenaan menjadi yang terakhir dan sebelum trio itu mengumumkan persaraan. – HIBGLAM