BEKAS isteri kepada pelakon Keith Foo yang juga model, Kim Raymond kini sah bergelar isteri kepada pengarah filem, Zahir Omar semalam.
Difahamkan, majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri keluarga serta rakan terdekat kedua-dua belah pihak.
Menerusi beberapa perkongsian yang diulangsiar Kim dalam Instagramnya, dia kelihatan anggun mengayakan busana rekaan Adila Long manakala Zahir pula mengenakan baju Melayu warna sedondon.
Pada majlis pernikahan itu, Zahir turut menyerahkan masa kahwin sebanyak RM800 kepada pihak pengantin perempuan.
Terdahulu, pada 24 Oktober lalu, Kim memeluk agama Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Markas Al-Khadeem iaitu sebuah komuniti Islam yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Lafaz tersebut dipimpin oleh Presiden Al-Kahdeem iaitu Datuk Sheikh Hussain Yee.
Foto ketika Kim membuat lafaz berkenaan turut dikongsi menerusi Instagram New Muslim Community yang banyak berkongsi tentang kisah saudara baharu Islam.
Untuk rekod, Kim pernah berkahwin dengan Keith pada 2015 sebelum mereka bercerai pada Disember 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Skylar Raymond Foo yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM