‘Lelaki lemah sahaja yang pukul perempuan’

PEKA dengan isu keganasan rumah tangga yang berlaku, pelakon Hisyam Hamid menganggap lelaki yang memukul perempuan adalah insan lemah.

Malah, Hisyam , 39, turut memaklumkan tugas kaum Adam sepatutnya melindungi wanita selain memenuhi keperluan mereka.

Sebagai seorang lelaki dan ketua keluarga, tanggungjawab kalian adalah untuk melindungi keluarga terutama sekali wanita, bukan untuk mengambil kesempatan.

“Pada saya lelaki yang lemah sahaja akan pukul perempuan sebab kalau nak bandingkan kekuatan, sah-sah perempuan kalah. Kenapa nak pukul mereka?

Kita sebagai lelaki pastikan keperluan mereka cukup. Kalau nak pukul, cari seseorang yang sesuai,” katanya kepada HibGlam semasa majlis Astro One, semalam.

Dalam masa sama, pelakon filem La Luna itu turut menasihati lelaki yang panas baran untuk cari tempat meluahkan tekanan tanpa mengasari pasangan.

“Pada golongan yang suka memukul atau mempunyai masalah panas baran, itu semua hanyalah psikologi.

Cari ruang untuk melepaskan ketegangan atau berjumpa dengan pakar. Lepaskan kemarahan terpendam, bukan dengan cara pukul apatah lagi terhadap insan lemah,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Hisyam juga memberitahu lakonan dapat membantu dia melepaskan marah sekiranya mempunyai tekanan dalam hidup.

“Lakonan adalah cara saya untuk escapisme. Secara tak langsung saya boleh melepaskan tekanan.

Terbaharu dalam drama Andai Tiada Dia, ada babak hentak kerusi dan pecahkan barang. Jadi, perkara tersebut bagi ruang untuk saya ekspresi diri.

“Ada apa-apa yang tersirat atau tersurat, masa tersebut untuk keluarkan. Dari situ orang nampak lakonan saya macam betul,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, pelakon dan bekas model, Zahnita mendedahkan dalam media sosial tentang dirinya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok