PROJEK This is Johan: A BikinSampaiJadi Story yang dihasilkan penyanyi rap, Joe Flizzow merangkul dua Anugerah Emas di Anugerah Kancil 2024 pada 22 November lalu.
Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 43, berkata, kemenangan bagi kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi itu ada nilai sentimental.
“Saya amat berbangga dan gembira bagi pihak seluruh pasukan atas anugerah ini. Terima kasih tak terhingga buat pengarah dokumentari, Barney kerana mempercayai visi yang kami perjuangkan.
Sebagai alumni graduan dalam bidang pengiklanan, Anugerah Kancil semestinya sasaran teratas buat semua pengamal industri pengiklanan di Malaysia.
“Trofi ini akan saya letakkan di sebelah trofi MTV EMA dan anugerah lain yang pernah saya peroleh dalam bidang muzik sebelum ini,” katanya.
Pencapaian tersebut secara tidak langsung membanggakan Universal Music Malaysia (UMM) memandangkan penyanyi lagu Apa Khabar itu merupakan Pengarah Urusan Def Jam SEA iaitu label Hip-Hop berpengaruh Asia Tenggara juga bawah syarikat rakaman UMM.
Sementara itu, Pengarah Urusan UMM, Kim Lim berkata, Joe merupakan contoh tepat selebriti sejati yang memiliki keistimewaan luar biasa kerana berjaya memberi impak positif terhadap generasi berbeza.
Akuinya, selain bijak menarik perhatian pendengar, Joe juga merupakan pelopor industri yang kekal relevan dalam kalangan pendengar muzik muda.
Menerusi projek ini, beliau berkongsi kisah peribadi, buah fikiran dan pengalaman yang membuka ruang untuk Gen Z menyelami dirinya. Keaslian sebeginilah mereka cari kerana lebih dekat di hati.
“UMM percaya bekerjasama dengan rakan jenama strategik seperti Hotlink yang berkongsi nilai serupa mampu menggandakan perkongsian minat dalam menyatupadukan Gen Z.
“Kami juga mahu buka jalan buat semua pihak menjadi sebahagian daripada projek besar pada masa depan,” ujarnya.
This is Johan: A BikinSampaiJadi Story adalah projek di bawah jenama telekomunikasi terkemuka Hotlink sempena misi menjadi Jaguh 5G Termantap Untuk Muzik.
Menerusi projek tersebut, Hotlink mengangkat muzik sebagai platform yang sangat dekat di hati Gen Z, selain mahu mengukuhkan ikatan dalam kalangan generasi itu pada masa akan datang.
Lebih menarik , projek terbabit merupakan dokumentari pertama dalam industri Hip-Hop tanah air yang menceritakan kembara muzik Joe sejak 1998.
Dokumentari yang diisi temubual selama 400 jam bersama rakan muzik, keluarga dan penyanyi rap itu turut merungkai sisi jatuh bangunnya dalam menaikkan nama di persada seni.
Dokumentari yang dihasilkan dengan kerjasama Mojo Films, Maxis, Universal Music Malaysia dan Publicis Groupe Malaysia itu ditayangkan di platform Viu Malaysia.
Sebagai rekod, Anugerah Kancil dianjurkan Pertubuhan Akreditasi Ejen Pengiklanan Malaysia (4As) dan sebanyak 234 trofi membabitkan 10 kategori disampaikan pada edisi kali ini. – HIBGLAM