TAMAT tempoh 24 jam, pelakon Syifa Melvin membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Instagram yang menyamakan wajah anaknya dengan khinzir.
Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 30, berkata, pihaknya agak lambat melaporkan perkara itu kepada kepada pihak berkuasa berikutan berada di luar kawasan.
Minta maaf, lambat buat report awak. Baru turun dari Bukit Tinggi. Maaf sangat,” katanya dalam perkongsian di Insta Story.
Menerusi video dikongsikan, sambil memegang salinan laporan polis dia mengikuti bait lagu nyanyian Slam, Gerimis Mengundang yang kebetulan berkumandang di radio.
Antara baik seni kata dendangan itu adalah ‘terasa diri amat terhina kau lakukan’ yang seolah-olah menggambarkan penghinaan dilemparkan kepada puteranya.
Begitupun, isteri kepada pemain bola sepak Terengganu, Safawi Rasid itu tidak berkongsi butiran laporan berkaitan individu yang menggunakan nama akaun Nur Lily Ilyana.
Pada hantaran sama, pelakon drama Derita Pia itu turut memaklumkan bakal ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mengemukakan laporan serupa.
Semalam Syifa memberi tempoh selama 24 kepada pemfitnah untuk mengirimkan mesej langsung menggunakan akaun Instagramnya yang sebenar atau berdepan tindakan undang-undang.
Tindakan nekad tersebut diambil susulan komen melampau pengguna terbabit yang mengejek anaknya, Saif Sulaiman, 14 bulan.
Syifa turut meminta pakar dalam bidang teknologi mencari dalang di sebalik beberapa akaun palsu lain yang secara tiba-tiba menyerangnya.
Menerusi perkahwinannya dengan Safawi yang didirikan pada 28 November 2022, mereka dikurniakan seorang putera, Saif Sulaiman . – HIBGLAM