TIADA angin tiada ribut, pelakon Nam Bo-ra mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan sudah bertunang melalui vlog peribadi yang dimuat naik dalam platform YouTube, baru-baru ini.
Menariknya, video tersebut turut memaparkan momen romantis ketika sang kekasih hati melamar aktres berusia 34 tahun itu dengan sebentuk cincin berlian selain berjanji akan sehidup semati bersama.
Mengakui itu momen terindah dalam hidupnya, Bo-ra bersyukur dipertemukan tuhan dengan lelaki yang sangat baik dan serasi.
Saya sudah bertunang! Saya telah menemui seseorang yang bakal menjadi teman sejiwa dan berjanji untuk menghabiskan sisa hidup bersama. Hanya orang biasa, bukan selebriti.
“Syukur tuhan hadirkan seorang jejaka yang boleh melengkapi saya. Nantikan lebih banyak momen bahagia yang akan kami kongsikan bersama,” ujarnya.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, media sosialnya dihujani ucapan tahniah daripada peminat yang tidak sabar melihat episod bahagia dalam hidupnya itu.
Khabar gembira itu memperlihatkan sisi baharu Bo-ra, tidak hanya sebagai seorang pelakon berbakat tetapi juga sebagai individu yang bersedia melangkah ke fasa kehidupan lebih matang dan bermakna. – HIBGLAM