Rekaan poster itu bukan idea saya – Bella Astillah

SEBENARNYA gambar saya dalam poster itu lebih besar, tetapi saya merayu dengan penganjur untuk kecilkan”.

Demikian respons penyanyi dan pelakon sensasi, Bella Astillah susulan isu kedudukan gambarnya dalam poster Konsert A Night With Sumandak Stars yang bakal berlangsung pada 30 November depan.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, bukan ideanya untuk meletakkan gambarnya di bahagian tengah dan lebih besar daripada penyanyi lain.

“Bila saya tengok hasil rekaan poster tersebut, takkanlah saya nak marah penganjur pula.

Sejujurnya sumpah demi Allah saya tak pernah rasa konsert ini saya yang punya. Bukan saya yang minta untuk poster tersebut direka seperti itu.

“Penganjur bayar saya dan saya anggap ini rezeki anak-anak. Takkanlah saya pula nak ‘demand’ itu ini dengan mereka.

Saya minta maaf kepada sesiapa yang terasa dan kurang senang dengan rekaan poster tersebut,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Tapi Bukan Denganmu itu lagi, dia memahami perasaan peminat penyanyi lain yang terlibat dan tidak marah dengan kritikan mereka terhadapnya.

Saya menghormati penyanyi-penyanyi yang terlibat dalam konsert ini yang jauh lebih berpengalaman.

“Jadi saya faham jika ada peminat mereka meluahkan rasa kesal dengan rekaan poster tersebut. Saya tak marah pun,” jelasnya.

Antara penyanyi yang terlibat dalam konsert yang menampilkan anak jati kelahiran negeri di bawah bayu itu ialah Marsha Milan, Nikki Palikat, Stacy Anam, Adira Suhaimi, Wani Kayrie dan Didi Astillah.

Ibu kepada dua orang anak itu turut menyangkal dakwaan pihak penganjur sengaja menggunakan gambarnya sebagai pelaris konsert tersebut.

“Tidak adil untuk berkata seperti itu. Bukan saya seorang sahaja yang terlibat dengan Konsert ini. Ada ramai lagi penyanyi yang hebat,’ ujarnya.

Terdahulu, rekaan poster Konsert A Night With Sumandak Stars menjadi pertikaian netizen gara-gara wajah Bella diletakkan di bahagian tengah.

Ramai yang mempersoalkan kredibiliti Bella kerana penyanyi lain yang terlibat dalam konsert berkenaan telah memenangi banyak anugerah dalam industri muzik.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok