SEBELUM ini Daebak menyenaraikan beberapa selebriti yang berasal dari China namun membina nama di Korea Selatan.
Siapa sangka, sebenarnya ada dalam kalangan selebriti Korea Selatan lain turut memegang dua kerakyatan negara.
Hal tersebut adalah bagi membolehkan mereka menetap atau memudahkan urusan kerjaya masing-masing.
Bagi peminat K-pop, perkara berkenaan bukanlah sesuatu yang pelik tetapi ini satu fakta baharu yang perlu ambil tahu.
Daebak menyenaraikan nama-nama selebriti yang memiliki dua kewarganegaraan.
Ma Dong-seok
PELAKON otai Ma Dong-seok merupakan anak jati Korea Selatan tetapi menghabiskan masa menetap di Amerika Syarikat (AS)
Pemilik nama sebenar Lee Dong-seok itu tinggal di Ohio untuk seketika dan menghadiri kolej komuniti di AS.
Namun, industri filem Korea Selatan telah menarik dia kembali ke Asia sehingga menjadikannya bintang terkenal hari ini.
Ahn Hyo-seop
PELAKON Ahn Hyo-seop tahun ini sudah menginjak usia ke-28 dan dijangka menyertai perkhidmatan ketenteraan berwajib.
Namun, difahamkan dia telah dikecualikan daripada perkhidmatan tersebut kerana pernah bermastautin di Kanada.
Bintang drama popular Business Proposal itu sebenarnya berpindah ke Kanada bersama keluarganya sejak berusia enam tahun.
Selepas beberapa tahun, dia kembali ke Korea dan bergelar pelakon bawah syarikat JYP Entertainment.
Choi Woo-shik
BAGI yang tidak tahu, pelakon Choi Woo-shik sebenarnya dibesarkan di Kanada, bahkan turut bersekolah di negara itu.
Selepas menghabiskan kolej di Kanada, Woo-shik memutuskan untuk meneruskan kerjaya lakonan di Korea Selatan.
Bintang berusia 34 tahun itu kemudian mencipta nama sebagai aktor yang disegani menerusi filem popular Parasite.
Jung Ryeo-won
SELEPAS beberapa tahun dilahirkan, pelakon terkenal Jung Ryeo-won dan keluarga berhijrah ke Australia.
Bintang drama terkenal Wok Of Love itu dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan gaya hidup negara itu kerana bersekolah di sana sehingga peringkat kolej.
Semasa menjadi pelajar pertukaran di Universiti Korea dari Universiti Griffith pada tahun 2000-an, dia ditemui pelakon, Lee Sang-min di daerah fesyen Apgujeong sekali gus mengubah laluan kerjayanya.
Go Sung-hee
AKTRES Go Sung-hee memegang dua kewarganegaraan iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Hal ini kerana Sung-hee dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) semasa bapanya bekerja sebagai Duta Korea di AS.
Mereka sekeluarga tinggal di negara itu beberapa tahun kerana bapanya perlu memberikan perkhidmatan sebagai duta. – HIBGLAM