KURANG 24 jam sebelum sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari berlangsung esok, pelakon Fattah Amin berkongsi foto bersama puteri tunggal kesayangannya, Nur Fatima Aisya.
Fattah, 34, memuat naik gambar mencium pipi anaknya itu manakala Fatima pula membuat isyarat tangan dengan simbol hati dalam Instagram Stories.
Tanpa memberikan sebarang kenyataan, Fattah hanya meletakkan emoji hati berwarna biru pada gambar tersebut.
Pada 13 September lalu iaitu sehari sebelum sambutan ulang tahun Fattah, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, memfailkan cerai terhadap pelakon itu di mahkamah sama.
Fattah bagaimanapun memaklumkan dia terkejut menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Akui Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin dia mencintai isterinya dan menegaskan tiada wanita lain di hatinya seperti dihebohkan dalam media sosial.
Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah turut berharap tiada campur tangan pihak ketiga yang boleh mengeruhkan lagi situasi rumah tangga mereka.
Sementara itu, pihak pengurusan Fazura menerusi pengurusnya iaitu Iman Tang menafikan dakwaan pelakon itu pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tindakannya membuat permohonan cerai.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 manakala hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 3. – HIBGLAM