Bintang Korea dihentam akibat pegangan seksualiti

KHALAYAK maklum bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menentang komuniti songsang, Lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT) kerana secara jelas bertentangan dengan ajaran agama.

Begitu juga dengan beberapa negara lain yang turut berpasak pada pegangan sama meskipun tidak secara terang-terangan. Korea Selatan secara hukumnya membenarkan perhubungan sejenis itu, namun risikonya harus ditanggung sendiri.

Disebabkan itu, tidak ramai masyarakat terutamanya selebriti yang memilih untuk terbuka mengenai orientasi seksualnya barangkali bimbang bakal didiskriminasi dan reputasi karier bakal menjunam.

Pun begitu, terdapat juga deretan artis yang tidak segan silu membicarakan orientasi seksualnya kepada khalayak dengan harapan persepsi buruk orang terhadap mereka bakal berubah.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-pop yang berani mati mendedahkan diri mereka ‘sejenis’ malah gigih memperjuangkan hak asasi komuniti LGBT. 

Hong Seok-cheon

Pelakon Hong Seok-cheon juga turut tersenarai dalam Kimchi Panas minggu ini.

Mana tidaknya, lelaki berusia 53 tahun itu antara selebriti terawal yang secara terbuka mengumumkan dirinya suka sesama jenis bahkan mula menyedari songsang sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Selepas mendedahkan orientasi seksualnya pada tahun 2000, pelakon filem New Old Story itu mengakui dihentam teruk masyarakat sehingga diboikot daripada keluar dalam mana-mana drama mahupun program televisyen.

Bersimbah kata nista, namun tidak pernah putus asa, Seok-cheon secara perlahan-lahan diterima masyarakat yang pada ketika itu percaya bakatnya melebihi orientasi seksualnya.

Dalam pada itu, lelaki bermata sepet itu bersyukur masih ada orang yang mendukungnya dan berterima kasih kepada stesen televisyen yang sudi bekerjasama dengannya.

Holland

Enggan lagi menipu diri sendiri, penyanyi Holland mengejutkan ramai peminatnya apabila mendedahkan dirinya merupakan seorang homoseksual sejak daripada kecil. 

Bukan itu sahaja, lelaki berusia 28 tahun itu aktif dalam memperjuangkan hak komuniti LGBT di Korea Selatan kerana mahu mengubah pandangan negatif terhadap hal tersebut.

Pun begitu, setiap kelantangan pasti ada impaknya. Setelah mengakui jati dirinya yang sebenar, Holland mengakui berdepan diskriminasi secara halus, malah dipandang seperti makhluk asing menjijikkan.

Orang sekelilingnya yang tidak menerima orientasi seksual dirinya itu kebanyakannya enggan bekerjasama dengannya lagi atas dasar berbeza prinsip. 

Bagaimanapun, bintang tinggi lampai itu tidak bimbang kerana percaya masih ramai yang mendukungnya untuk terus berkarya dalam bidang muzik.

Kwon Do-woon

Suka sesama jenis sejak umur 7 tahun, penyanyi Kwon Do-woon kini lantang bersuara dalam mewakili hak asasi manusia golongan LGBT.

Tidak pernah timbul rasa malu, jejaka tampan itu sebaliknya bangga dapat memberitahu masyarakat tentang orientasi seksualnya yang sebenar tanpa perlu berpura-pura demi menjaga reputasi karier.

Dia juga mengumumkan sedang bahagia dengan pasangannya selain menyifatkan perkara tersebut sebagai momen terindah dalam hidupnya.

Enggan mempedulikan kata nista netizen, Do-kwoon berpegang kepercayaan tuhan menciptakan manusia dengan pelbagai versi. 

KilliAN

Nama bekas pelatih di bawah naungan JYP Entertainment, KilliAN pernah meledak dalam media sosial gara-gara mendedahkan dirinya dikeluarkan daripada agensi tersebut setelah hubungan homoseksualnya diketahui.

Ujar jejaka berusia 33 tahun itu, perbuatannya itu telah menyebabkan dirinya dihalau tanpa diberi peluang untuk membuat penjelasan.

Aku songsang, tetapi orang Korea sangat konservatif tentang homoseksualiti pada waktu itu, jadi pada akhirnya, mereka meminta aku untuk pergi kerana itu tanpa penjelasan,” ujarnya menerusi satu rancangan temu bual.

Menurut sebuah laporan, KilliAN atau nama sebenarnya Lin Jia-le itu didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan idola pelatih sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pelatih lain.

Selain orientasi seksualnya, dia digugurkan daripada JYP juga difahamkan bersangkut paut dengan kewarganegaraannya yang bukan asli Korea Selatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok