TIDAK sampai hati melihat keadaan uzur Rumah Komuniti Malaysia (MCH) Liverpool, United Kingdom yang menjadi lokasi perhimpunan warga Malaysia, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim mengambil pendekatan proaktif dengan menghulurkan bantuan.
Rizalman berkata, sebanyak RM500,000 disalurkan Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) kepada Dar Al Qari Resources iaitu entiti yang bertanggungjawab menyelia dan membantu kerja-kerja baik pulih MCH Liverpool.
Menurut usahawan yang bakal mencecah usia 53 tahun pada 28 Oktober depan itu, komitmen Yayasan RI bertitik-tolak pada matlamat organisasi berkenaan yang menjadi medium ke arah membina dan mengukuhkan komuniti sejagat.
Sebagai khalifah di bumi Allah SWT, saya melihat ada keperluan untuk menghulurkan bantuan. Ia bukan untuk diri saya tetapi lebih kepada memberi sinar dan harapan warga Malaysia di Liverpool berhubung kepentingan MCH.
“Justeru, saya berniat untuk membaik pulih bangunan itu di bawah payung Yayasan RI,” kata Rizalman yang berada di Liverpool bagi menyempurnakan majlis perasmian wajah baharu MCH Liverpool, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan berkata, kerja-kerja membaik pulih premis itu seiring dengan objektif utama entiti berkenaan iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah dan menerapkan kepentingan budaya Melayu untuk diterapkan di negara itu.
Apa yang perlu ditekankan mengenai pengisian MCH Liverpool ialah aktiviti kegamaan dan kebudayaan.
“Kita memahami, orang ramai yang berkunjung ke MCH Liverpool ialah warga Malaysia bersama anak dan cucu mereka.
Komuniti ini juga tidak mahu generasi baharu lupa akar umbi Melayu termasuk bahasa dan cara hidup, jadi harus ada pengisian yang boleh sentiasa mengingatkan mereka mengenai asal-usul kita,” jelas Jailani lagi.
Sebagai rekod, bangunan tiga tingkat MCH Liverpool dibangunkan sejumlah mantan kelasi kapal berbangsa Melayu sekitar 1970-an.
Premis itu dibina bagi membolehkan pesara itu dan keluarga meraikan kehidupan sebagai orang Melayu di penempatan luar bandar yang jaraknya hampir 300 kilometer dari kota London kerana sebilangan besar mereka memilih untuk menetap di situ. – HIBGLAM